08 Oktober 2013

Rokok ragut 10,000 nyawa setiap tahun

3 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Kota Kinabalu: Kira-kira 10,000 penduduk Malaysia meninggal dunia akibat menghisap tembakau setiap tahun.
Pendedahan itu dibuat penyelaras Pusat Penyelidikan dan Kerjasama Ketagihan Nikotin (NARCC), kumpulan penyelidikan mengenai penagihan nikotin Pusat Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) yang diketuai Dr Amer Siddiq Amer Nordin.

Sambil menyifatkannya sebagai sesuatu yang membimbangkan, beliau berkata angka itu mungkin hanya mencerminkan sebahagian kecil daripada keadaan sebenar.
“Jumlah mereka mungkin lebih ramai. Sebagai contoh, bagi setiap seorang yang dikenal pasti, mungkin sembilan lagi tidak dikenal pasti atau dilaporkan.
“Kira-kira 20 peratus rakyat Malaysia menghisap tembakau setiap hari... ini bererti ia mungkin mengakibatkan lebih banyak kematian pada masa akan datang.
Penyumbang utama penyakit
“Apabila kita bercakap mengenai kesan menghisap tembakau, terlintas di fikiran kita mengenai kanser. Tetapi, menghisap tembakau juga adalah faktor utama atau penyumbang bagi penyakit jantung dan paru-paru serta pelbagai jenis kanser.
“Sebenarnya, ia adalah penyebab utama bagi apa jua penyakit yang kita hadapi,” katanya pada Simposium Pengawalan Tembakau Sabah 2013 di kampus utama Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Likas dekat sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Institut Inovasi Kesihatan Kebangsaan (NIHI) dan Pengarah Bersama Turanga Tobacco Research Group di University of Auckland, New Zealand, Prof Dr Christopher Bullen; Prof Madya di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Universiti Malaya, Dr Farizah Mohd Hairi; Dekan Pengasas Lincoln University College Dental School, Dr Rahimah Abdul Kadir; Timbalan Pengarah Penyakit Tidak Berjangkit di Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Nirmal Kaur dan pakar perubatan keluarga Dr Fauzia Abd Majid.
Amer Siddiq berkata, kajian menunjukkan sebahagian besar peruntukan bagi kesihatan hanya bertumpu pada tiga penyakit utama - penyakit jantung, paru-paru dan kanser.
Cegah masalah kesihatan
“Jika amalan menghisap tembakau disekat, mungkin kita dapat mencegah masalah kesihatan lain dari berkembang.
“Jika kita merokok hari ini, kesannya tidak kelihatan esok, selalunya ia kelihatan selepas 10, 20 atau 30 tahun dan jika kita mempunyai jumlah penghisap tembakau yang ramai sekarang, kita akan hanya dapat melihat masalah sebenarnya 20 tahun akan datang apabila kita dapati ramai yang mengalami penyakit jantung dan kanser dengan tiba-tiba datang untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan,” katanya sambil menambah sesetengah perokok adalah remaja.
Sementara itu, Dr Nirmal berkata, sebagai maklum balas terhadap bahaya menghisap tembakau, Kementerian Kesihatan mewujudkan 30 klinik berhenti merokok yang dikendalikan doktor di seluruh Sabah.
Bagaimanapun, katanya, klinik itu kurang mendapat sambutan dan beliau berharap perokok memanfaatkan perkhidmatan itu untuk kebaikan mereka.
BERNAMA

Tiada ulasan: