08 Oktober 2013

Pro Morsi diserang lagi, lebih 50 terkorban


3 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,
MESIR: Pihak berkuasa Mesir mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 53 orang terbunuh dan 271 lagi cedera dalam pertempuran di seluruh negara pada hari Ahad 6 Oktober lalu di antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan pro-legitimasi.


Angka itu bagaimanapun berbeza dengan sumber Ikhwan Muslimin yang memaklumkan lebih 70 terkorban dan ratusan lagi cedera.



6 Oktober lalu merupakan sambutan ulang tahun ke-40 perang 1973 di mana Mesir menang ke atas Israel.



Di saat penyokong kudeta sedang berpesta di Medan Raba'ah, menyambut ulang tahun kemenangan itu, penyokong Morsi yang berhimpuan di beberapa kawasan pula dibedil dengan peluru hidup.



Kebanyakan angka korban itu direkod dalam serangan di ibu kota Kaherah dan Giza.



Syap Ikhwan, Parti Keadilan dan Kebebasan menuntut penyiasatan antarabangsa terhadap insiden berdarah terbaru tersebut.



Mereka mendakwa ketua jeneral Abdul Fatah Al-Sisi dan Menteri Dalam Negeri Mohamed Ibrahim bertanggung jawab sepeuhnya dalam siri pembunuhan terbaru yang disifatkan sebagai "pembunuhan sengaja".



Di Medan Tahrir, penyokong pro-demokrasi telah ditembak dengan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh anggota keselamatan.


Demonstrasi yang lain turut berlaku di Dokki, Giza di mana pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke udara dan gas pemedih mata yang digunakan untuk menyuraikan penunjuk perasaan.



Beberapa penunjuk perasaan cedera dan jumlah yang tidak ditentukan lain ditangkap.



Pertempuran juga berlaku di Medan Ramsis ketika penyokong Morsi dedang bergerak menuju ke Tahrir.



Menurut saksi sekurang-kurangnya 11 terkorban ditembak dengan senapang patah di kepala.

Beberapa wilayah lagi turut berlaku pertempuran termasuk di wilayah terusan Suez, wilayah Qalioubiya, bandar Alexandria dan di wilayah Assiut.

Tiada ulasan: