08 Oktober 2013

Bantuan persekutuan mesti dapat sokongan ketua Umno

3 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

KOTA BHARU: Biar pun Kelantan ditadbir PAS dan Pakatan Rakyat, namun pemimpin Umno masih berperanan bagi menyokong bantuan persekutuan (BP) yang diberi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Malah BP1 sehingga BP6 yang diberi kerajaan pusat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) disyarat mesti mendapat sokongan pemimpin tempatan persekutuan (PTP - Ketua Umno Bahagian).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, peraturan itu mulai dikuatkuasa di Kelantan sejak 2008.

Katanya, ekoran penguatkuasaan peraturan tersebut yang ditetapkan kerajaan pusat menyebabkan ada projek di bawah PBT yang sepatutnya dapat dilaksanakan tertangguh kerana tidak mendapat persetujuan PTP.

Misalnya peruntukan sebanyak RM1.4 juta bagi Majlis Daerah Dabong untuk melaksanakan prasarana lambat dilaksanakan kerana PTP mempunyai cadangan lain.

“Sepatutnya perkara seperti itu dapat diselesaikan dengan mudah memandangkan PBT telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi dalam jawatankuasa yang dibentuk ketika sesuatu projek dirancang.

“Perbincangan itu turut melibatkan JKR dan agensi-agensi lain, namun ada PTP masih enggan menyokong dan mahu pengubahsuaian dilakukan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui semasa persidangan berhenti rehat.

Sebelum itu ketika menjawab soalan Datuk Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubur) Abdul Fattah berkata, terdapat tiga jenis bantuan persekutuan yang diberi kepada PBT di Kelantan.

Bantuan tersebut iaitu bantuan mengikut kadar, geran keseimbangan dan bayaran elektrik untuk lampu-lampu isyarat jalan di bawah PBT.

Misalnya bagi tahun 2012 sumbangan kadar sebanyak RM6.9 juta, geran keseimbangan (RM22.2 juta) dan bayaran elektrik lampu isyarat (RM1.9 juta).

Sumbangan kadar iaitu sebagai ganti rugi cukai bagi aset persekutuan yang terdapat di kawasan PBT.

Abdul Fattah berkata, bantuan tersebut sekarang perlu mendapat persetujuan PTP yang juga Ketua Umno Bahagian sebelum prasarana bagi kemudahan rakyat dilaksanakan PBT.

Beliau juga memberitahu PBT di Tanah Merah juga bermasalah apabila PTP mengubah perancangan projek infrastruktur yang dibuat PBT sebelum ini.

Oleh itu beliau berharap mendapat kerjasama PTP di seluruh Kelantan bagi membolehkan projek yang dirancang PBT dapat dilaksanakan segera.

harakahdaily.net

Tiada ulasan: