08 Oktober 2013

PRK Sungai Limau: PAS teliti calon 10 Okt

3 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: PAS akan meletakkan calon yang diyakini boleh mencapai kemenangan, sekaligus mempertahankan kerusi N.20 Sungai Limau pada pilihan raya kecil itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata PAS juga akan meneliti calon-calon yang disenarai pendekkan PAS Kedah itu bersesuaian serta mampu meneruskan legasi kepimpinan almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.

"Tidak kira calon itu orang muda, profesional atau apapun, yang penting calon itu calon yang boleh menang dan diterima pengundi di kawasan tersebut," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau turut memaklumkan PAS akan meneliti senarai calon-calon bagi kerusi itu ketika mesyuarat PAS di peringkat Pusat yang akan diadakan 10 Oktober ini.

PRK Dun Sungai Limau diadakan berikutan penyandangnya, almarhum Ustaz Azizan kembali ke rahmatullah ekoran komplikasi jantung dan kencing manis di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), 26 Sept lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon pada 23 Okt, manakala hari membuang undi pada 4 Nov.


Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, almarhum Ustaz Azizan mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru yang turut membabitkan sepupunya, Mohd Fazillah Mohd Ali dari BN.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: