IPOH: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak menumpaskan satu sindiket menjual dan membeli kereta terpakai membabitkan kerugian RM409,050.
Sindiket yang dipercayai aktif sejak 2010 itu berjaya dibongkar selepas penangkapan tiga individu termasuk dua wanita berusia 25, 29 dan 43 tahun dalam dua tangkapan berasingan di Temerloh, Pahang dan Serdang, Selangor pada Sabtu serta Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Superintendan Maszely Minhad, berkata penangkapan tiga individu itu sekurang-kurangnya berjaya menyelesaikan 25 kes penipuan di lima negeri iaitu Perak, Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Selangor.
Beliau pada sidang media di sini, pagi ini, berkata sindiket terbabit mendapatkan mangsa yang mengiklankan kenderaan mereka untuk dijual menerusi internet sebelum menghubungi mangsa dan menyamar sebagai broker jual beli kenderaan.
"Suspek akan mengadakan pertemuan dan rundingan mengenai harga kereta sebelum memujuk mangsa menandatangani borang tukar milik kenderaan.
"Suspek akan membuat pembayaran kepada mangsa menggunakan cek jurubank (bankers cheque) palsu dan mangsa hanya menyedari mereka ditipu ketika menukarkan cek itu di bank," katanya.
Katanya, sindiket itu kebiasaannya melakukan 'urus niaga' berkenaan pada hari Khamis dan Jumaat bagi mengelak penipuan cek palsu mereka dikesan mangsa.BH/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan