08 Oktober 2013

Bil sarapan pagi 6k?


3 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Dr Azman Ibrahim,
Membaca berita seorang pemilik restoran di Pengkalan Chepa yang mengenakan caj melampau sehingga 6k untuk menu sarapan pagi bagi 100 orang ahli rombongan, pelbagai andaian bermain di fikiran saya.

Yang pertama, kalau benarlah ini yang dilakukan oleh pemilik restoran tersebut, jelas ianya satu penganiayaan kepada pelanggan. Apatah lagi saya telah bermastautin di Kelantan sejak lebih 13 tahun lepas, biasa menikmati sarapan pagi di serata tempat dan pelbagai kategori warung serta restoran. 

Hakikatnya, paling mahal pun, ianya cuma sekitar RM5 atau RM6 sahaja untuk seorang. Ianya sudah lebih dari mengenyangkan. Fakta bahawa Kelantan adalah syurga dengan makanan yang beraneka dan murah adalah suatu kebenaran.

Yang kedua, laporan berita berkenaan insiden ini pelbagai. Ada yang menyatakan ahli rombongan seramai 50 orang. Bermakna  kos untuk satu kepala adalah RM120. Media yang lain pula melaporkan bahawa, ahli rombongan berjumlah seramai 100 orang. Bermakna kos untuk satu kepala adalah RM60. Sama ada seramai 50 orang atau 100 orang, caj RM6,000 yang dikenakan masih tersangat mahal kerana ianya hanya sebuah restoran, bukannya hotel lima bintang.

Yang ketiga, maaf kalau saya sebutkan, biasa berlaku kes pelanggan minta tuan kedai tulis jumlah yang besar dalam bil untuk tujuan dibuat tuntutan atau claim walaupun jumlah sebenar yang dibayar adalah jauh lebih sedikit dari yang tercatat. Orang panggil mark up harga. Di klinik saya pun biasa ada pelanggan yang minta begitu. Biasanya saya jawab dengan lembut, “Apa sahaja yang bukan hak kita, haram untuk kita makan. Maafkan saya kerana tak dapat membantu dalam hal sebegini.”

Yang keempat, tahniah saya ucapkan kepada Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang bertindak cepat  membuat serbuan. Mengikut yang dilaporkan dalam sebuah akhbar harian, tuan punya restoran tersebut dikenakan kompaun 175k. Hampir 30 kali ganda dari apa yang telah dicaj dalam bil ‘pelanggan malang’ tersebut. Entah apa peribahasa yang tepat untuk kes ini. Mungkin peribahasa ‘untung semangkuk rugi sebelanga’.

Yang kelima, apakah tuan punya restoran ini belajar dari tindak-tanduk sebahagian dari Jabatan Kerajaan sebagaimana yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, ada jam dinding yang harga pasarannya cuma RM100 tetapi dibeli dengan harga lebih RM3,000. Kalau penguatkuasaan undang-undang begitu cepat dikenakan terhadap tuan punya restoran ini, yang beli jam ini bagaimana pula?

Yang keenam, saya juga ingin sekali singgah dan merasai kelazatan sarapan pagi di restoran  yang menjadi kontroversi ini. Tetapi tentu saja saya akan mempastikan dulu harga makanan sebelum menikmatinya. Bimbang nanti saya terpaksa buat kerja part time sebagai pencuci pinggan mangkuk di restoran itu sebab tak cukup duit nak bayar.

Tiada ulasan: