SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjadi pembentang utama 'Ke Mana Hala Tuju Syariah Islam di Malaysia' dalam Seminar Pelaksanaan Syariah Islam di Malaysia 56 Tahun Merdeka Halangan Dan Penyelesaian.
Program sehari anjuran Majlis Permuafakatan Institusi Pendidikan Islam Selangor (Mappis) bersama Pejabat Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri akan diadakan di dewan Unisel, seksyen 7 di sini pada 12 Oktober (Sabtu) bermula jam 8.30 pagi.
Pembentangan kertas kerja 1 ‘Hikmah Pelaksanaan Undang-undang Jenayah lslam' oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr. Mahtodz Mohamad manakala pengulas oleh pendakwah bebas, Datuk Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, peguam Muhammad Buruk dan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr. Khairuddin Aman Razali.
Kertas kerja 2 bertajuk `Perlaksanaan Syariat dalam Konteks Perlembagaan Negara' oleh bekas pensyarah UIA, Dr Abdul Aziz Bari manakala pengulas oleh peguam Sulaiman Mohammad, Datuk Wan Abdul Mutalib Embong dan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin.
Seminar yang akan dirasmikan Exco Pendidikan negeri, Dr Halimah Ali itu bertujuan memberi kefahaman mengenai syariah Islam yang luas sebagai satu sistem dalam perundangan negara.
Seminar itu juga memberi penekanan perlaksanaan syariah Islam bagi memelihara agama, keturunan, akal, maruah dan harta serta memberi penjelasan terhadap persoalan yang mengelirukan rakyat berhubung syariah Islam.
Peserta seminar akan didedahkan kenapa 55 tahun merdeka Syariah lslam masih tidak dilaksanakan secara menyeluruh sebagai satu sistem dalam perundangan negara serta kegagalan undang-undang sedia ada dalam usaha membanteras jenayah.
Seminar itu juga memberi kefahaman mengenai Syariah lslam yang luas sebagai satu sistem dalam perundangan negara serta penekanan hikmah perlaksanaan syariah lslam bagi memelihara agama, keturunan, akal maruah dan harta.
Program itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat orang Islam dan bukan Islam.
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut bolehlah menghubungi Setiausaha Mappis iaitu Azmi Abdul Talib melalui emel hjazami@yahoo.com atau hubungi talian 03-55447150.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan