12 November 2013

Al-Wathan Mesir: Presiden PAS nafi, ambil tindakan


8 Muharram 1435H. [MOD] -

Harakahdaily/-

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini menafikan laporan akhbar pro kerajaan rejim kudeta Mesir, Al-Wathan yang mendakwa beliau ialah Setiausaha Agung Antarabangsa Ikhwan Muslimin.

Beliau berkata, walaupun beliau dan PAS mendukung demokrasi dan menentang kudeta di Mesir namun adalah tidak munasabah beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung Antarabangsa Ikhwan Muslimin.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya dan berita ini adalah bohong dan sangat mendukacitakan. Adalah tidak munasabah saya yang duduk di timur jauh melibatkan diri secara langsung dengan apa yang berlaku di Mesir.

"Kita tidak masuk campur (krisis Mesir) cuma hak asasi manusia kita sokong bukan sahaja PAS tapi parti lain di barat yang mendukung demokrasi mahu hak rakyat dikembalikan.

"Mereka nak heret kita terlibat dengan Ikhwan itu adalah tidak benar kerana kegiatan Ikhwan terlibat dengan Asia Barat dan orang Asia Barat di Eropah, jadi tak munasabah nak letak saya sebagai setiausaha agung," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Akhbar itu yang memetik kenyataan bekas pemimpin Ikhwan yang telah keluar dari Ikhwan, Tharwat Kharbawi mendakwa bahawa Tuan Guru Abdul Hadi sebagai ketua kepada lima orang jawatankuasa pengurusan yang bertanggungjawab menguruskan tanzim di seluruh dunia selama tiga tahun.

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang juga menyifatkan laporan tersebut sebagai provokasi untuk mengganggu hubungan PAS dengan pihak luar.

"Ini satu berita provokasi untuk menyulitkan kita dalam hubungan antarabangsa," katanya.

Justeru, tegasnya PAS sedang mengkaji tindakan guaman yang boleh diambil ke atas akhbar tersebut.

"Saya telah hubungi rakan-rakan di Asia Barat termasuk rakan di UK untuk menafikan berita ini dan kita serah juga kepada pihak guaman untuk mengambil tindakan sewajarnya," tegasnya yang juga Adun Rhu Rendang.

Pada 22 Oktober 2007, Tuan Guru Abdul Hadi memenangi kes saman ke atas Daily Mirror, sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris berhubung kes laporan palsu ke atas beliau.

Daily Mirror dalam akhbar dan juga web mereka, secara terang-terangan menyiarkan gambar Datuk Seri dan mengaitkan beliau sebagai perancang beberapa siri pengeboman di United Kingdom termasuk sebuah pusat membeli-belah di Kent.

Beliau juga telah dituduh sebagai orang ketiga dalam pertubuhan Al-Qaeda, dan sedang ditahan di Guantanamo Bay.

No comments: