12 November 2013

Ekonomi negara dijangka meleset akibat GST


8 Muharram 1435H. [MOD] -
Selangorkini,12 Nov 2013
SHAH ALAM: Malaysia berkemungkinan mengalami kemelesetan ekonomi selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 2016.

Penganalisa ekonomi, Azrul Azwar Ahmad Tajudin (gambar), berkata kemelesatan itu dijangka berlaku berdasarkan Teori Kitaran Niaga sejak akhir-akhir ini.

Katanya, pelaksanaan GST bakal memberikan kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seterusnya menyebabkan berlakunya ‘double whammy’ berdasarkan perbelanjaan isi rumah.

Teori kitaran niaga menjadi pendek kerana dulu ia berlangsung selama 10 tahun tetapi sejak akhir-akhir ini menjadi tujuh tahun.

“Kali terakhir berlaku kepada Malaysia pada tahun 2009, jadi kemungkinan kemelesetan berlaku pada 2016. Proses ini hanya mengambil masa setahun selepas GST dilaksanakan bermula 1 April 2015,” katanya ketika ditemui portal Selangor Kini selepas seminar umum yang bertajuk pengurusan kewangan berhemah di Karangkraf, di sini, semalam.

Azrul berkata, trend teori kitaran niaga terbabit menjadi lebih singkat berdasarkan perubahan faktor dalam sistem ekonomi, kewangan negara dan kemajuan teknologi.

“Kita tidak dapat memastikan bila perkara ini akan pulih kerana bergantung kepada penerimaan orang ramai terhadap GST. Namun  GST boleh dikawal jika gaji dinaikkan setara dengan perlaksanaannya bagi mengelak kadar hutang isi rumah terus meningkat,” katanya.

Beliau yang juga Pengurus Tugas Khas, Analisa Ekonomi dan Kewangan Pejabat Menteri Besar Selangor, berkata kerajaan disaran melaksanakan Capital Gains Tax (CGT) bagi mengelakkan bebanan cukai yang tinggi terhadap rakyat.

“Cukai ini kita ambil atas keuntungan bukan modal. Dalam kiraan saya, kerajaan boleh meraih pendapatan RM8 bilion hingga 10 billion setahun,” katanya.

Dalam sidang akhbar di lobi parlimen 31 Oktober lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendapatan rakyat perlu diberi perhatian dan dipertingkatkan sebelum pelaksaaan GST yang dilihat bakal membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Saya tidak mengatakan bantahan pada prinsip GST dalam ucapan belanjawan saya. Saya tegaskan daripada sudut sistem pelaksanaan GST itu lebih telus dan efisyen.

“Soalnya, dua syarat yang kita tekankan iaitu pertama hapuskan ketirisan dan kebocoran dengan menjimatkan wang itu untuk berbelanja,” jelas beliau.

Tiada ulasan: