12 November 2013

BN kekal kemenangan kerusi Parlimen Balik Pulau

8 Muharram 1435H. [MOD] -

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Balik Pulau di Pulau Pinang selepas Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak rayuan dikemukakan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR). 

Panel lima hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif menolak rayuan Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan memerintahkannya membayar kos perundangan RM20,000, masing-masing kepada anggota Parlimen Balik Pulau dari BN, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, pegawai pengurus pilihan raya kawasan Balik Pulau dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Turut bersidang bersama-sama Md Raus ialah empat Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Ramly Ali. 

Peguam yang mewakili Dr Hilmi, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin telah mengemukakan bantahan awal terhadap rayuan itu, menyatakan rekod rayuan itu tidak kukuh. 

Mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang menolak dengan kos petisyen pilihan raya Muhammad Bakhtiar yang difailkan untuk membatalkan kemenangan Dr Hilmi di kawasan Parlimen Balik Pulau dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang diadakan pada Mei tahun ini. 

Muhammad Bakhtiar perlu membayar sejumlah RM180,000 bagi kos perundangan kerana Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini memerintahkannya membayar RM40,000 masing-masing kepada Dr Hilmi, pegawai pengurus pilihan raya Balik Pulau dan SPR bagi prosiding di Mahkamah Pilihan Raya. 

Dr Hilmi, yang juga Timbalan Menteri Kesihatan mengalahkan Muhammad Bakhtiar dengan majoriti 1,539 undi. 

Muhammad Bakhtiar diwakili peguam Murali Ram manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili SPR. 


Sementara itu, panel yang sama turut mendengar rayuan petisyen pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising di Kelantan. 

Md Raus, bagaimanapun berkata mahkamah menangguhkan untuk membuat keputusan bagi rayuan itu kerana mereka mahu menunggu penghakiman satu lagi panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berkaitan petisyen-petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen dan DUN di Kelantan dan Perak. 

Rayuan itu dikemukakan pengarah pilihan raya PAS bagi Selising, Semsudin Muhammad selepas petisyen pilihan rayanya ditolak Mahkamah Pilihan Raya dengan kos RM30,000. 

Zulkifle Ali dari BN mengalahkan Saiful Bahrim Mohamad dari PAS dan calon Bebas, Ibrahim Ismail, dengan majoriti 107 undi di kerusi Selising dalam PRU13. 

Semsudin diwakili peguam Murtadza Mokhtar manakala peguam Datuk Hafarizam Harun mewakili Zulkifle dan SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad. 
- BERNAMA

Tiada ulasan: