12 November 2013

Taufan Haiyan: 8 terkorban di selatan China

8 Muharram 1435H. [MOD] -

BEIJING: Sekurang-kurangnya lapan orang di selatan China terkorban dan mengakibatkan sektor pertanian dan industri perikanan kerugian beratus juta dolar berikutan Taufan Haiyan yang mula melanda Filipina Jumaat lalu, lapor media tempatan, hari ini. 

Taufan terkuat di dunia yang turut membawa ribut tropika itu, semakin lemah ketika menuju ke selatan China, semalam. 


Bagaimanapun, ia masih mencatatkan kelajuan putaran angin sehingga 100 kilometer sejam yang turut membawa hujan lebat di beberapa bahagian di wilayah Guangxi. 

Kejadian terburuk berlaku di Pulau Hainan, selatan China hingga mengakibatkan sebuah kapal kargo yang berlabuh di kawasan terbabit karam, Ahad lalu. 

Menurut stesen radio tempatan, China National Radio, usaha menyelamat giat dijalankan menggunakan bot laju dan helikopter. Setakat ini tiga mayat berjaya ditemui manakala empat lagi anak kapal masih hilang. 

Sehingga hari ini, empat penduduk Pulau Hainan dilapor terkorban termasuk dua terkena serpihan sisa taufan. 

Taufan turut mengakibatkan kerugian sebanyak AS$700 juta dalam sektor pertanian , perhutanan, ternakan dan industri perikanan China. - AP

Tiada ulasan: