06 February 2014

Spekulasi lepas jawatan, Taib tak hadir majlis PELITA

6 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

Usaha sekumpulan wartawan untuk mendapatkan pengesahan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengenai spekulasi pelepasan jawatannya gagal apabila beliau tidak hadir pada sebuah majlis jamuan malam di Riverside Majestic Hotel di Kuching malam tadi.
  
Sebaliknya, Abdul Taib yang menjadi tetamu kehormat majlis 'Malam Puspawarna' anjuran Lembaga Lindungan dan Pembangunan Tanah Sarawak (Pelita) menghantar wakilnya, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Kumpulan wartawan media cetak dan elektronik tiba untuk majlis pukul 7.30 malam itu untuk mendapatkan pengesahan mengenai spekulasi yang tersebar luas semalam bahawa Abdul Taib akan melepaskan jawatan yang dipegang selama 33 tahun itu pada akhir bulan ini.
  
Awang Tengah ketika membaca teks ucapan Abdul Taib memaklumkan kepada tetamu bahawa Ketua Menteri itu tidak dapat hadiri kerana komitmen lain.
  
Namun, ramai yang mempercayai ketidakhadiran Abdul Taib ada hubung kaitnya dengan spekulasi pelepasan jawatannya.

Awang Tengah, yang ditemui selepas majlis tersebut, enggan membuat sebarang komen, sebaliknya meminta wartawan menulis mengenai teks ucapan ketua menteri yang dibacanya.
  
Sementara itu, timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Roland  Sagah Wee In memberitahu Bernama bahawa beliau dimaklumkan mengenai mesyuarat Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) pada Sabtu dan Ahad ini.
  
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mengetahui agenda mesyuarat itu.
  
Mengikut laporan media, Abdul Taib, 78, dijangka memaklumkan keputusan melepaskan jawatanya dan bersara dari arena politik dalam mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi PBB, Sabtu ini.
  
Laporan itu turut menyebut Abdul Taib akan mengadakan mesyuarat khas bersama semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional Sarawak pada hari berikutnya.
  
- Bernama

No comments: