06 February 2014

Sebar surat palsu Kesavan tindakan terdesak

6 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

HUTAN MELINTANG - AMK Bagan Datoh menyatakan sokongan penuh kepada Adun Hutan Melintang, S Kesavan dan menyifatkan penyebaran surat layang kononnya  beliau keluar parti sebagai tindakan pihak terdesak.

Naib Timbalan Ketuanya, Khairul Ehsan Sukarmon berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu tidak menjejaskan fokus Kesavan dalam memberi khidmat kepada pengundi di kawasannya.

“Ini adalah cabaran dan dugaan sebagai wakil rakyat yang terpalit dengan mainan politik kotor yang menggunakan isu murahan seperti ini.

“Saya juga melihat ini merupakan isu terdesak oleh sesetengah pihak lebih-lebih lagi berikutan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang akan berlangsung tidak lama lagi.” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau yang juga Pegawai Khas Adun Hutan Melintang berkata, pihaknya tidak mahu membuat tuduhan melulu siapa dalang  penyebaran surat palsu itu  sebaliknya  menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) AMK Bagan Datoh, Azhar Bahari berkata, tindakan yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab tidak sesekali melemahkan semangat pihaknya.

“Kami mahukan pihak polis mahu menjalankan siasatan dengan sebaik mungkin sehingga menahan individu yang bertanggungjawab  menyebarkan dakwaan tidak berasas.

“Sekali lagi kami mengulangi pendirian kami bahawa barisan AMK Cabang Bagan Datoh akan berdiri teguh di belakang Kesavan bagi memperjuangkan matlamat parti di Dun Hutan Melintang khususnya dan Bagan Datoh,” katanya.

Sinar/-

No comments: