06 Februari 2014

Bapa cedera ditikam anak akibat salah faham

6 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

Seorang warga emas cedera ditikam di bahagian perut oleh anaknya susulan perselisihan faham dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Seterpa, Bukit Marak, di Kota Bharu semalam.
    
Anak saudara mangsa, Sauli Mokthar, 47, berkata pada pukul 6.30 pagi mangsa Ibrahim Che Mud, 62, ditikam menggunakan pisau oleh anak ketiganya yang berumur 29 tahun di dalam biliknya.

"Saya yang ketika itu sedang tidur dikejutkan dengar jeritan mangsa, bergegas ke bilik mangsa dan mendapati kedua-dua beranak itu sedang bergelut
sebelum mangsa jatuh akibat ditikam.
    
"Anaknya yang merupakan penganggur kemudian melarikan diri dengan kereta selepas menikam bapanya beberapa kali," katanya ketika ditemui pemberita.
    
Sauli berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sementara itu, isteri Sauli, Fairuz Che Mat, 42, berkata beliau yang sedang bercuti di rumah bapa saudaranya itu sejak lima hari lalu tidak menyangka kejadian seumpama itu berlaku.
    
"Mangsa hanya tinggal berdua dengan anaknya," katanya sambil menambah tiga lagi anak warga emas itu tinggal di beberapa bandar lain.
    
Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, namun berkata masih mengumpul maklumat lengkap mengenainya.  
    
- Bernama

Tiada ulasan: