06 Februari 2014

Perjuangan Islam selamanya terasa pedih

6 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
Sesungguhnya sejak awal lagi perjuangan Islam itu tidak pernah dihampari dengan permaidani merah. Jika pun tatkala Islam itu menang, kerdurjanaan terhadap perjuangan Islam itu akan sentiasa ada dan tidak pernah berhenti. Justeru, wajip kita menyedari bahawa seruan jihad itu sepanjang zaman dan tidak akan sekali-kali terhenti dengan keadilan pemerintah yang adil atau kezaliman pemerintah yang zalim.

Ibnu Kathir menceritakan (dalam al-Bidayah wa al-Nihayah) jawapan Mafruq bin ‘Amru, Hani’ bin Qabishah, al-Muthanna bin Harithah dan al-Nu’man bin Syarik ketika diajak memeluk Islam oleh Rasulullah. Kata mereka: Barangkali perkara yang kamu seru kepada kami ini adalah antara perkara yang dibenci raja-raja. Begitu juga apa yang diriwayatkan dari sirah Rasulullah s.a.w. apabila baginda berdakwah kepada orang ramai tentang Islam agar bersyahadah, dua orang lelaki Badwi dari kalangan yang hadir berkata “Ini adalah perkara yang dibenci oleh raja-raja (pemerintah). Kerana inilah kamu akan diperangi oleh orang-orang Arab dan orang-orang ‘ajam (bukan Arab).” 

Selain itu, dalam menceritakan kisah sejurus selepas Rasul Allah S.A.W dan bani Hashim dibelenggu dengan tiga tahun sekatan ekonomi di Mekah, dalam firmannya Allah S.W.T telah membuat satu penegasan kepada Rasul Allah S.A.W sebagai pedoman untuk kita semua: Dan sesungguhnya nyaris-nyaris mereka dapat memesongkanmu (wahai Muhammad) dari apa yang “Kami telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya dan (kalau engkau melakukan yang demikian) barulah mereka menjadikan engkau sahabat karibnya. Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka. Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seseorang penolong pun terhadap hukuman Kami.” (Al-Israa' 73-75).

Apa yang dipaparkan melalui sirah perjuangan Islam terdahulu dan apa yang disampaikan oleh Al-Quran dan Rasul Allah SAW jelas menyatakan bahawa perjuangan Islam itu akan terus dihalang dengan apa jua usaha. Gagal dengan cara halus dan lembut, musuh-musuh Islam akan bergabung tenaga mengumpul kekuatan untuk mendepani Islam dengan kekerasan.

Begitu juga gagal dengan kekerasan, mereka akan kembali secara diplomasi member tekanan kepada perjuangan Islam agar cita-cita mendaulatkan Islam tetap terhalang. Helah, muslihat, perdaya dan penipuan akan selalu menyelubungi kelangsungan perjuangan Islam sepanjang zaman.

Mahu tidak mahu setiap pendokong Islam wajip bersedia pada setiap masa dan saat dengan segala kekuatan untuk berusaha meletakkan Islam pada tempatnya. Demikian pula perlu bersiapsiaga untuk mempertahankan Islam bila ada saja usaha-usaha mencemari kesuciannya.

Apatah lagi bila kita menjadikan perjuangan Islam sebagai matlamat dalam gerakan parti politik seperti hari ini. Selain kemantapan dalam memahami Islam itu sendiri, kefahaman yang cukup jitu terhadap system yang kita depani adalah suatu kewajipan.

Memahatkan Islam untuk ianya gah berada dalam setiap lapangan kehidupan seperti hari ini suatu yang cukup getir. Kita berhadapan dengan suatu system yang telah cukup punah. Benarlah apa yang dipaparkan sirah betapa bimbang hilangnya kuasa dan kekayaan akan menjadikan manusia sanggup berbuat apa sahaja demi memastikan cita-cita mereka tercapai tanpa diganggu gugat.

Bila kita menetapkan medan demokrasi itu sebagai wadah perjuangan, mahu tidak mahu kita wajip mengenalpasti setiap cabaran dan rintangan yang ada. Jika Rasul Allah dan para sahabat berhadapan dengan kaum munafik, kafir, raja-raja Rom dan Parsi, suasananya tetap sama pada hari ini. Apa yang beza hanyalah nama dan watak-watak semasa.

Jika Rasul Allah dan para sahabat mengumpul kekuatan dengan pelbagai cara termasuklah berbaik dengan mereka yang di luar kelompok Mekah dan Madinah, samalah halnya hari ini. Pada setiap ruang pasti ada mereka yang sedia bersama kita untuk mendepani setiap kepincangan dan ketidakadilan yang berlaku di sekeliling dan persekitaran.

Apa yang ketara hari ini masyarakat kian menunjukkan kecenderungan untuk kembali kepada Islam. Usah kita bersenang lenang dengan situasi ini. Akan ada saingan kita yang muncul dengan pelbagai wajah, menyatakan mereka juga inginkan Islam didaulatkan.

Jahatnya sebahagian hamba Allah yang akur kepada nafsu kuasa dan harta benda akan sentiasa ada. Demi memastikan apa yang diingini dan dicita dikecapi, mereka sanggup berbuat apa sahaja termasuklah mewujudkan persepsi bahawa mereka cukup Islami. Bijaksana dalam mengatur gerak adalah keperluan. Wajah-wajah munafik, kufur dan bermuka-muka akan sepanjang masa mengelililingi kita.

Memadailah Allah S.W.T sebagai pelindung. Memadailah Rasul Allah S.A.W sebagai pendorong. Ikhlaskan hati agar dunia tidak menjadikan kita hilang arah, tiada bijaksana dalam mengatur gerak.
Harakahdaily/-

Tiada ulasan: