06 February 2014

Taib TYT Sarawak Baharu?

6 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
KUCHING: Selepas spekulasi berterusan mengenai masa depannya dalam politik diperkatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, orang kuat Sarawak ,Tan Sri Abdul Taib Mahmud kini dilihat bersedia untuk melepaskan jawatannya.
Namun dalam masa yang sama cakap-cakap mula kedengaran bahawa Ketua Menteri itu turut bersedia untuk dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri.
Ramai di kalangan ahli politik dan pengamal media berpendapat keinginannya untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri hampir pasti selepas pengumuman bahawa tempoh bagi Ketua Negara Tun Muhammad Salahuddin akan hanya dilanjutkan daripada 5 Disember 2013 sehingga 28 Februari tahun ini.
Jangkaan itu mula timbul selepas pemimpin yang memerintah Sarawak sejak 1981 itu memanggil mesyuarat tergempar bersama Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) negeri hujung minggu ini.

Mereka percaya bahawa Abdul Taib akan mengumumkan hasratnya itu pada mesyuarat berkenaan.
Abdul Taib yang memegang jawatan tertinggi di negeri ini sejak 33 tahun lalu adalah pemimpn kerajaan yang berkhidmat paling lama di negara ini.
Berita mengenai jangkaan Abdul Taib akan mengundur diri sebagai Ketua Menteri tidak lagi memberi kesan buruk kepada syarikat yang ada kaitan dengan Sarawak di Bursa Malaysia.
Cahya Mata Sarawak yang 43 peratus sahamnya merupakan milik keluarga Abdul Taib merupakan antara kaunter rugi terbesar apabila ditutup pada Rabu dengan kadar 2.6 peratus ke RM7.24.
Walaupun beberapa ahli-ahli politik yakin bahawa Abdul Taib akan mengundur diri sebagai ketua kerajaan untuk menjadi Tuan Yang Terutama, timbul juga pendapat yang mengatakan bahawa "perkara itu tidak akan berlaku dengan cepat".
Ahli MT PBB, Datuk Idris Buang berkata laporan bahawa Abdul Taib akan meletak jawatan pada akhir bulan ini hanya spekulasi.
"Taib masih diperlukan bagi pembangunan SCORE (Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak) dan agenda Sarawak," tambah beliau.
Menteri Perumahan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, yang juga anggota kanan PBB berkata: "Beliau pernah menyatakan sebelum pilihan raya negeri lepas bahawa tempoh ini adalah yang terakhir untuknya. Dalam tempoh yang akan berakhir pada Jun 2016 ini beliau memberikan isyarat untuk berundur. Ia mungkin esok atau bulan depan. Ia boleh jadi bila-bila masa sahaja tapi yang pasti dalam tempoh ini.
"Walaupun kita mahu beliau untuk teruskan tugasnya, tapi faktir umur makin meningkat. Persediaan perlu dibuat untuk seseorang mengambil alih jawatan itu. Kami akan serahkan kepada beliau untuk membuat keputusan. Beliau mengetahui yang terbaik apabila mahu bersara dan kepada siapa tanggungjawab itu akan diberikan."
Menteri Perumahan dan Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg memilih untuk berdiam diri mengenai perletakan jawatan Abdul Taib.
"Saya tidak akan ulas mengenai spekulasi," katanya.
Presiden PRS, Tan Sri Dr James Masing ketika ditanya sama ada Abdul Taib yang kini berusia 78 tahun akan meletakkan jawatan berkata: "Saya percaya beliau akan berbuat demikian. Tapi hari, bulan dan tahun untuknya bersara terpulang kepada keputusannya. Berikan beliau masa dan ruang untuk berbuat demikian. Untuk menjadi penggantinya, PRS akan mengikuti sesiapa keputusan PBB dan kepimpinan tertinggi BN."
Sementara itu, pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak, Dr Jeniri Amir berkata, Abdul Taib mungkin mengumumkan persaraan beliau pada hujung minggu ini .
"Masanya hampir tamat. Banyak kali beliau berjanji akan melepaskan jawatannya dan masanya telah tiba untuk beliau untuk memenuhi janjinya ity," katanya.
mStar/-

No comments: