06 Februari 2014

Rafizi: PRK lambat bagus untuk Pakatan

6 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

Pengarah Strategi PKR dan perancang utama 'Serampang Kajang', Rafizi Ramli melihat tempoh yang panjang menjelang pilihan raya kecil (PRK) DUN  Kajang dapat memulih semula imej mereka di Kajang.

Beliau bagaimanapun mengaku pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam yang memerlukan 44 hari untuk membuat persediaan, boleh memberi pelbagai kesan tetapi mengambilnya secara positif.
"Saya fikir, (jika PRK lambat) itu lebih bagus untuk kita (PR) rakyat sudah tidak marah sangat,ada lebih banyak masa untuk dekati rakyat.

"Saya mengambil positif perkara ini," katanya selepas forum 'Serampang Kajang' di Subang semalam.

Rafizi berkata SPR mungkin mengambil keputusan tersebut kerana Umno dan BN memerlukan masa yang lebih untuk bersedia menghadapi PRK itu.

Beliau berkata langkah 'Serampang Kajang' yang dilakukan PKR memberi impak yang amat besar kepada rancangan Umno bagi mengukuhkan rancangan merampas Selangor dalam pilihan raya akan datang.

"Sampai sekarang mereka (BN) masih belum buat keputusan untuk bertanding atau tidak (di PRK Kajang)," katanya.

Sementara itu, bekas pengerusi bersama BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan turut berasa hairan mengapa SPR mengambil masa terlalu lama untuk bersedia bagi PRK Kajang.

Bagaimanapun beliau tetap menyeru pengundi Kajang untuk menggunakan hak mereka bagi memastikan perjalanan demokrasi dan menunjukkan suara rakyat kepada parti politik.

'Ini tunjukkan SPR masih seperti dulu'

"Saya tahu ada antara anda (pengundi) mahu boikot kerana mereka marah digunakan. Keluar mengundi atau tidak hak anda, tapi saya gesa untuk berfikir semula kerana anda boleh bersuara dengan mengundi dan guna ia untuk PRK ini," kata beliau.

Semalam, SPR berkata PRK Kajang diadakan pada 23 Mac depan dan menetapkan 11 Mac sebagai tarikh penamaan calon dengan 12 hari tempoh berkempen.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata pihaknya tidak menjangka langsung akan adanya pilihan raya kecil tersebut dan menurutnya untuk mengadakan pilihan raya kecil bukanlah satu perkara yang mudah.

Dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu, calon PKR, Lee Chin Cheh memenangi kerusi itu dengan menewaskan lima calon lain termasuk calon BN, Lee Ban Seng, dengan majoriti lebih 6,000 undi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang mempunyai 39,278 pengundi merangkumi 48 peratus pengundi Melayu, 40 peratus Cina, 10 peratus India dan 1 peratus lain-lain.
Malaysiakini/-

Tiada ulasan: