KUALA LUMPUR: Sebanyak 42 Ahli Parlimen telah mengambil bahagian membahaskan Bajet 2022 pada minggu kedua persidangan Dewan Rakyat.
Sesi perbahasan dimulakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lepas yang antara lain meminta kerajaan menjelaskan dengan telus mengenai perbelanjaan projek-projek off budget.Selain itu, bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan kerajaan supaya menaikkan had maksimum pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada RM10,000, sementara Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad meminta kerajaan menyemak semula peruntukan dalam belanjawan itu bagi mengurangkan beban hutang negara.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2022 pada 29 Okt lepas dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM332.1 bilion untuk menyedia dan merancang pelbagai strategi serta inisiatif bagi mensejahterakan rakyat dan membangunkan ekonomi yang makmur serta mampan.
Dalam pada itu, pada Selasa, Ahli-ahli Parlimen mula mendapat suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 yang disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) di Bangunan Parlimen.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata pemberian dos penggalak itu bagi memastikan keselamatan semua Ahli Parlimen berada pada tahap optimum kerana mereka sering berjumpa rakyat dan pulang ke kawasan masing-masing khususnya ketika musim banjir.
Sementara itu, kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi bacaan kali pertama.
Dewan Rakyat tidak bersidang pada hari ini berikutan sambutan Deepavali dan akan bersambung Isnin.
Mengikut takwim mesyuarat Dewan Rakyat, Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di peringkat dasar dijadualkan hingga 11 Nov depan sebelum sesi penggulungan oleh kementerian-kementerian berkenaan selama empat hari bermula 15 Nov. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan