NEW DELHI: Sepasang kekasih yang menjalankan perniagaan hotel ‘No Halal’ di Kochi ditahan pihak polis atas dakwaan melakukan cubaan membunuh terhadap pemilik kafe serta menyebarkan kebencian dalam media sosial.
Lapor India Today, pasangan itu dikenal pasti sebagai Thushara Kallayil dan suaminya, Ajith, dituduh cuba membunuh Binoj dan Nakul yang merupakan pemilik kafe di Kakkanad, Kochi berdekatan Infopark.
Susulan itu, polis turut menahan mereka kerana menghasut orang ramai dengan menyebarkan propaganda perkauman apabila Thushara memuat naik video secara langsung dalam Facebook.
Wanita itu mendakwa kononnya dia diserang oleh sekumpulan individu yang marah dengan papan tanda no-halal (tidak halal) dan menghidangkan daging babi di hotel mereka.
Video itu mendapat perhatian warga maya sehingga tersebar dalam media sosial.
Menurut pihak polis, pasangan itu sebenarnya merancang untuk mendapatkan bangunan kafe di kawasan itu, sehingga menyebabkan berlaku keganasan dan berakhir dengan cubaan membunuh seperti dilaporkan mangsa.
Jelasnya, suami Thushara dan rakan-rakannya yang lain datang ke kafe tersebut dengan menimbulkan masalah seperti memecahkan kaunter pembayaran dan mencuri barang.
Kejadian itu menyebabkan pemilik kafe, Binoj dan Nakul mengalami kecederaan serius dan dibawa ke hospital.
Salah seorang mangsa terpaksa menjalani pembedahan.
UTUSAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan