SAN FRANCISCO: Gergasi media sosial yang sedang dibelenggu skandal, Facebook, akan menghentikan sistem pengenal pasti wajah yang sekian lama dikritik dan akan memadam data imbasan ke atas satu bilion orang, dedah syarikat itu Selasa lalu dalam satu respons mengejutkan terhadap kebimbangan privasi.
Pengumuman itu dibuat tatkala ia mengharungi antara krisis paling teruk pernah dihadapi, dengan dokumen dibocorkan kepada wartawan, penggubal dasar dan pengawal selia Amerika Syarikat (AS), sekali gus mencetuskan gesaan baru bagi pengawasan kerajaan.
Perubahan dasar itu menghentikan ciri yang secara automatik mengenal pasti individu yang muncul dalam gambar digital pengguna Facebook dan ciri yang juga kunci kepada usaha syarikat terbabit untuk membangunkan koleksi sejagat wajah-wajah, iaitu ciri yang mengundang kontroversi.
"Perubahan ini menunjukkan salah satu peralihan terbesar dalam penggunaan sistem pengenal pasti wajah dalam sejarah teknologi," tulis Jerome Pesenti, naib presiden kecerdasan buatan (AI) di syarikat induk Facebook, Meta.
"Terdapat banyak kebimbangan berkaitan peranan teknologi pengenal pasti wajah dalam masyarakat dan pengawal selia masih dalam proses membangunkan peraturan jelas yang mengawal penggunaannya," tambahnya.
Pesenti bagaimanapun tidak menjelaskan secara langsung mengapa perubahan itu diumumkan tatkala syarikat itu bergelut dengan laporan berdasarkan dokumen bocor yang mendakwa eksekutif syarikat terbabit tahu wadah itu boleh membawa mudarat.
Langkah menghentikan sistem itu 'akan menyebabkan templat yang mengenal pasti wajah lebih satu bilion individu dipadam," tulisnya, sambil menambah ia akan dilaksanakan dalam beberapa minggu akan datang.
Penyokong privasi mengalu-alukan berita itu, tetapi ada yang bimbang ia sekadar usaha memperbaiki imej syarikat terbabit di tengah-tengah krisis perhubungan awamnya baru-baru ini. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan