04 November 2021

Agensi agama agresif turun padang santuni rakyat

 

KUALA LUMPUR: Lebih 400,000 penduduk menerima sumbangan yang diagih agensi-agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menterinya Senator Idris Ahmad berkata, sumbangan itu dalam tempoh dua bulan bermula 1 September hingga 31 Oktober lepas yang berjumlah RM16.71 juta.


Katanya sumbangan terbabit diagihkan melalui lapan agensi Islam iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Tabung Musaadah Covid-19, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Selain itu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Tabung Haji (LTH), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan TV Al-Hijrah.

“Pengagihan sumbangan dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan tersebut merangkumi Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 (PIAGAM C-19) yang menjadi hala tuju 100 hari agensi-agensi Islam,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya hari ini.

Antara sumbangan yang diberi iaitu wang tunai, bakul makanan, makanan bermasak, peralatan kesihatan, bantuan institusi-institusi pendidikan, peranti elektronik, van dwi-fungsi dan sebagainya.

“Berkat usaha gigih yang dilaksanakan agensi-agensi terbabit, alhamdulillah kita berjaya dan akan terus agresif turun padang melaksanakan tanggungjawab menyantuni Keluarga Malaysia yang memerlukan khususnya yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/11/2021

Tiada ulasan: