04 November 2021

“Aku teringin mati di sini…” -Yatt Hamzah

 

PETALING JAYA: Pelakon Yatt Hamzah, yang kini sedang mengerjakan ibadah umrah meluahkan rasa terharu apabila berpeluang membersihkan karpet di dalam Masjid Nabawi, Madinah.

Menerusi entri Instagram, pelakon drama popular Dunia Baru itu memuat naik satu video yang memaparkan dirinya membersihkan karpet menggunakan pembersih vakum.

Selanjutnya, Yatt juga memasang hasrat untuk membawa keluarganya menetap di sana dan meninggal di Tanah Suci.

“Ya Allah, aku sangat teringin membawa keluargaku untuk menetap di Madinah agar berada dekat dengan Nabi ku.

“Aku sangat teringin anak-anakku bersekolah, membesar di Madinah serta aku amat teringin untuk mati di sini agar dapat disemadikan di perkuburan Baqi’.

“Jika pada pemikiranMu, salah satu cara untuk berada di sini adalah dengan menjadi seorang tukang cuci, aku amat berbesar hati Ya Allah. Aku amat bangga anda dapat berkhidmat di sini buat Rasulullah ku,” katanya.

Dalam pada itu, Yatt turut berkongsi perasaan yang luar biasa semasa membersihkan karpet Masjid berkenaan walaupun sejenak sahaja selain sudah lama teringin membantu para pekerja di sana untuk membersihkan masjid berkenaan.

“Semalam lepas Asar, Bonda dapat peluang bersihkan Masjid Nabi. Perasaannya luar biasa MasyaAllah walaupun hanya sekejap.

“Memang sudah lama teringin nak membantu pekerja-pekerja kebersihan di sini dalam Masjid Nabawi kerana Bonda memang suka sangat membersihkan rumah. Tidak suka nampak kotor.

“Alhamdulillah, rezeki dapat merasa menjadi tukang cuci Masjid Nabawi walaupun hanya sebentar. Alhamdulillah,” ujarnya panjang.

Menjengah ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan artis memuji tindakan murninya di sana selain menzahirkan rasa rindu untuk menjejakkan kaki di kota suci itu.

UTUSAN.


Tiada ulasan: