KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurniakan gelaran Datuk Kurnia kepada empat individu berkuat kuasa 27 Oktober lalu.
Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, berkata Pengarah Urusan Kumpulan Bharat, Datuk Seri Vinod Kumar Agawal dikurniakan gelaran Datuk Kurnia Ekram.
Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah turut memperkenankan pengurniaan gelaran Datuk Kurnia Wira kepada Pegawai Memerintah Batalion Ketiga Rejimen 505 Askar Wataniah, Left Kol Datuk Dr Ir Thong Kok Sing.
Gelaran Datuk Kurnia Bistari dikurniakan kepada Pengerusi Pertubuhan Badan Kebudayaan Daerah Maran, Datuk Mohamed Ariffin Awang Ismail, manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pahang FC, Datuk Akhbar VVAbu diberi gelaran Datuk Kurnia Arjuna.
"Pengisytiharan pengurniaan gelaran itu selaras Perkara 28 (Bahagian Pertama) Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang yang memperuntukkan Raja Pemerintah ialah punca bagi segala pangkat kebesaran dan kemuliaan dalam negeri Pahang.
"Sebagai Sultan Pahang, hanya baginda saja berhak mengurniakan gelaran dan pangkat kemuliaan serta mengadakan pangkat kebesaran atau kurniaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – BERNAMA/BHARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan