PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membenarkan warga asing yang sudah lengkap dua dos vaksin solat fardu secara berjemaah di surau dan masjid, berkuat kuasa pada waktu solat Maghrib hari ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata syarat penjarakan satu setengah meter meter yang diamalkan sebelum ini juga dikurangkan kepada satu meter.
Beliau berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas yang sudah lengkap vaksinasi turut dibenarkan untuk menunaikan solat berjemaah.
"Selain itu, murid tadika dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dibenarkan menghadiri kelas pengajian yang beroperasi dalam premis surau dan masjid berpandukan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah.
"Penganjuran majlis sosial dibenarkan seperti kenduri, majlis sambutan perayaan, perkahwinan, aqiqah dan lain-lain untuk diadakan di dewan surau dan masjid bagi individu lengkap vaksinasi dengan 50 peratus kapasiti ruang serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
"Ketetapan baharu aktiviti pengimarahan di surau dan masjid di Wilayah Persekutuan ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd Ajib berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Pengumuman ini diharap dapat memberi peluang kepada lebih ramai jemaah mengimarahkan surau dan masjid di Wilayah Persekutuan," katanya.
bharian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan