13 Disember 2021

Kelantan peruntuk RM27 juta bagi sektor pertanian tahun depan

 

Foto daripada Facebook Ust Hj Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan memperuntukkan RM27 juta bagi sektor pertanian menerusi Belanjawan 2022, dalam menjalankan pelbagai program dan aktiviti untuk membantu golongan petani, nelayan dan penternak.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata jumlah yang diumumkan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, ketika membentangkan belanjawan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, menunjukkan peningkatan sebanyak RM5 juta berbanding peruntukan RM22 juta tahun ini.

“Kerajaan negeri amat prihatin dengan segala masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat, terutamanya dalam sektor pertanian.

“Oleh itu, dengan adanya peruntukan sebegini, ia dapat membantu golongan yang memerlukan untuk mengikuti pelbagai program dan aktiviti yang diatur oleh agensi berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Dapur Hijau Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong, di sini, hari ini.

Pada 28 Okt lalu, kerajaan negeri telah melancarkan Dasar Pertanian Negeri Kelantan dan Pelan Tindakan Strategik Pertanian Negeri Kelantan 2021-2025, agar halatuju pertanian negeri itu dapat diperkasakan.

Mengulas lanjut, mengenai Program Dapur Hijau tersebut, Tuan Mohd Saripudin berkata program yang diadakan sejak 2015 itu, adalah sebahagian usaha kerajaan negeri mengurangkan impak beban kenaikan kos sara hidup terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana. – BERNAMA


Tiada ulasan: