SAYA mengambil maklum isu yang tular baru-baru ini berkaitan sebuah siri drama yang memaparkan lakonan babak luar tabii seorang lelaki bersama lelaki lain.
Perkara ini sudah dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengadakan siasatan lanjut dan menyelesaikannya mengikut lunas undang-undang sedia ada.
Di sini saya hanyalah ingin mengatakan dengan tegas bahawa hukum syarak yang diturunkan oleh Tuhan adalah penuh dengan maslahat dan menolak mafsadah.
Betapa beratnya isu LGBT ini, cukuplah kegerunan yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W sendiri. Daripada Jabir bin Abdillah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَى أُمَّتِي عَمَلُ قَوْمِ لُوطٍ
“Sesungguhnya yang paling aku takut ditimpa kepada umatku amalan seperti kaum Lut.”
[Riwayat Ibn Majah (2563), Ahmad (15093) dan al-Tirmizi (1457). Imam Tirmizi menyatakan Hadis ini Hasan Gharib]
Kisah kaum Nabi Lut menunjukkan kepada kita betapa kejinya perbuatan tersebut, ia adalah perbuatan luar daripada fitrah kejadian manusia yang dijadikan hidup berpasangan.
Sejarah melihatkan Allah S.W.T melenyapkan kota Pompeii akibat mengikuti perbuatan kaum Nabi Lut, iktibar bagi kita semua.
Saya berharap perkara sebegini tidak akan berlaku lagi di negara kita Malaysia. Jangan sesekali menormalisasikan perbuatan yang jelas bercanggah dengan syariat Islam.
Saya juga ingin menasihati semua pihak agar menghormati sensitiviti masyarakat setempat dan tidak menimbulkan rasa tidak senang dalam suasana masyarakat yang majoritinya berpegang teguh kepada ajaran agama dan ketatasusilaan.
Tidak lupa juga, ibu bapa mestilah memantau anak-anak supaya jauh daripada gejala tidak sihat ini. Pesan Imam al-Ghazali kepada ibu bapa:
“Kanak-kanak itu adalah amanah bagi ibu bapanya. Hati nuraninya bersih bak permata yang bernilai. Jika dibiasakan dengan kebaikan dan diajar nescaya dia besar dan bahagia di dunia dan akhirat. Sebaliknya jika dibiasakan dengan kejahatan serta diabaikan seperti pengabaian binatang ternakan, nescaya dia akan binasa dan celaka. Justeru, hendaklah anak itu dipelihara dengan mendidiknya dan mengajarnya nilai-nilai akhlak sedari kecil lagi.”
Semoga Allah S.W.T memberikan kita kesabaran dan kebijaksanaan dalam berdepan dengan dunia yang semakin mencabar ini.
YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 13/12/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan