13 Disember 2021

PRN Sarawak, 23,043 pengundi awal laksana tanggungjawab esok

KUCHING: Seramai 23,043 pengundi akan mengundi awal esok membabitkan 69 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

Pengundi awal itu membabitkan 10,458 anggota dan pegawai polis serta pasangan manakala bakinya membabitkan anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Antara pusat pengundian awal adalah di Dewan Ibu Pejabat Polis Kontenjen (IPK) Sarawak serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Rumah Persatuan Keluarga Polis serta beberapa sekolah serta kem tentera.

Sepanjang proses pengundian awal, pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan COVID-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuat kuasa seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, sanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan.

Kanak-kanak bermain bola sepak berlatarkan belakang perang bendera parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan bendera Parti Sarawak Bersatu (PSB) di Kampung Boyan ketika tinjauan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 di Petra Jaya, Kuching. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata pusat pengundian awal akan dibuka bermula jam 7.30 pagi hingga 5 petang.

Katanya, seramai 5,522 anggota polis akan bertugas pada hari mengundi esok dengan setiap anggota akan ditempatkan di lokasi serta saluran mengundi awal.

"Seorang pegawai zon turut ditempatkan bagi memastikan keselamatan serta melancarkan perjalanan hari mengundi awal dan teratur.

"Keselamatan tempat mengundi juga dijamin selamat dan terkawal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya, bagi undian awal untuk DUN N17 Stakan, membawa kertas undi dan peti undi untuk di simpan di Ibu Pejabat Polis Kota Samarahan, selepas selesai sesi taklimat undian awal di Instititut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak Kota Samarahan.STR/NADIM BOKHARI

Bagi pengundi awal dalam kalangan anggota dan pegawai polis serta pasangan mereka, beliau berkata, sebanyak 85 pusat mengundi awal dengan 111 saluran disediakan.

Hanya 13 DUN tidak terbabit dalam proses pengundian awal antaranya DUN Demak Laut, Sadong Jaya, Krian, Semop, Jemoreng, Ngemah, Bukit Assek, Baleh, Murum, Kemena dan Pujut.

BHARIAN.

Tiada ulasan: