13 Disember 2021

PAS Johor teguh pertahan muafakat kesatuan ummah

 

ALHAMDULILLAH, segala puji-pujian selayaknya hanya untuk Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam yang berpanjangan ke atas junjungan Nabi Besar kita Muhammad S.A.W, ahli keluarga, Sahabat – sahabat Baginda, para Tabiin, Atba’ Tabiin dan seluruh umat Islam.

Hakikat perutusan Rasulullah S.A.W adalah sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam. Segala panduan, syariat dan Sunnah Baginda S.A.W adalah merupakan bimbingan kepada kita semua. Antara sunnah dan ajaran Baginda S.A.W adalah mengajak manusia kepada penyatuan, muafakat dan  persefahaman.

Firman Allah S.W.T:

 وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ * إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ.

“Dan jika sekiranya dua kumpulan dari kalangan orang yang beriman berperang (berbalah atau bermusuh), maka hendaklah didamaikan antara mereka berdua (untuk kepentingan Islam). Jika sekiranya (setelah berdamai) salah satu daripada dua kumpulan tersebut menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka hendaklah diperangi (secara jasmani atau rohani melalui nasihat, teguran) kumpulan yang menceroboh tersebut sehingga ianya kembali semula kepada peraturan (hukum) Allah (mematuhi perjanjian yang bermatlamatkan untuk menjaga agama dan kepentingan umat Islam). Jika (kumpulan tersebut) kembali mematuhi syarat (yang dikehendaki syarak), maka damaikanlah (semula) di antara dua kumpulan itu dengan adil (dengan menepati hukum Allah) dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah S.W.T amat mencintai orang yang berlaku adil. (Allah memerintah demikian) kerana umat Islam adalah bersaudara, maka hendaklah kamu damaikan (perselisihan) di antara saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah (dengan memastikan tujuan perdamaian kerana Allah) semoga kamu beroleh kejayaan.”

(al-Hujurat: 9 – 10)

Berdasarkan ayat di atas, para ulamak bersepakat menyatakan bahawa perintah mendamaikan umat Islam yang bertelagah adalah wajib. 

Perdamaian dan persefahaman yang dibina adalah untuk menjaga kepentingan Islam dan umat Islam serta masyarakat umum yang lain. Ianya menyeluruh bukan kerana agenda tertentu dan bukan juga untuk kelompok tertentu sahaja. 

Perdamaian dan persefahaman ini juga perlu sentiasa dipertahankan dan diperbaharui agar ianya terus subur walaupun mungkin ada tindakan yang kadang-kadang dilihat bertentangan dengan semangat persefahaman. Ini kerana persaudaraan Islam adalah berkekalan di dunia dan akhirat. Justeru ianya wajib diperkukuhkan.

Firman Allah S.W.T:

 وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ.

“Taatlah kamu kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya S.A.W dan janganlah kamu (berterusan) bertelingkah kerana (pertelingkahan) akan menyebabkan kamu menjadi lemah dan hilang kehebatan kamu. Bersabarlah (dalam menghadapi tindak-tanduk pihak yang berjanji membina permuafakatan dengan kamu), sesungguhnya Allah S.W.T bersama dengan orang-orang yang sabar.”

(al-Anfaal: 46)

Ayat Allah S.W.T ini jelas mengingatkan kita agar terus pertahankan permuafakatan dan kerjasama yang dibina kerana ianya merupakan asas kepada kekuatan. Sebaliknya perpecahan punca kepada kelemahan. 

PAS Johor terus mendukung tema memperkukuh Muafakat Nasional (MN) mempertahankan Perikatan Nasional (PN). Ianya selaras dengan keputusan Majlis Syura Ulamak dan PAS Pusat yang juga selaras dengan perintah Allah S.W.T.

Keputusan ini selari dengan Piagam Muafakat Nasional yang tidak menghalang parti komponennya membina kerjasama dengan mana-mana pihak sama ada parti politik, NGO atau individu yang tidak bersama Pakatan Harapan (PH). PAS membina kerjasama dengan BERSATU yang telah meninggalkan Pakatan Harapan (PH).

Firman Allah S.W.T:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ.

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah dan tingkatkan kesabaran melebihi musuh kamu dan ikatkan (teguhkan kekuatan dan persaudaraan kamu) serta bertakwalah kepada Allah, semoga kamu beroleh kejayaan.”

(Aali Imran: 200)

Justeru PAS Johor akan terus teguh dengan usaha dakwah ke arah menyatukan umat Islam dan masyarakat umum yang lain sama ada parti politik, NGO atau platform yang lain bagi mewujudkan persefahaman bersama dan menyeluruh. PAS Johor juga menyeru agar kita dapat bertaawun dalam perkara yang kita sepakati dan kita bertoleransi dalam perkara yang kita tidak sependapat. 

Semoga Allah melapangkan dada kita demi melihat persaudaraan Islam Melayu menjadi tunjang kekuatan bersama bangsa dan masyarakat lain. Perpaduan Nasional asas kekuatan. Perpecahan punca kehancuran.

Siiruu ‘Alaa Barokatillah

“Islam Menyatukan Ummah”

USTAZ ABDULLAH HUSIN
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 13/12/2021

Tiada ulasan: