16 Februari 2012

Penunggang motosikal maut dirempuh treler

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KULAIJAYA – Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya setelah motosikal ditunggang dirempuh sebuah treler ketika cuba keluar dari susur persimpangan di Kilometer 32, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, kemalangan berlaku pada kira-kira jam 2.45 petang, semalam dan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati treler yang datang dari arah Air Hitam menghala ke Johor Bahru dipercayai merempuh motosikal yang tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri tempat kejadian.

“Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, sebuah treler dilaporkan terbabas di Kilometer 25, Jalan Johor Bahru- Air Hitam berhampiran projek jambatan bertingkat di Senai, setelah melanggar batu penghadang di kawasan itu.

Mohd Kamil berkata, lori tanpa muatan yang dipandu lelaki berusia 33 tahun itu terbabas dan menyebabkannya merempuh rumah kedai di situ, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.

“Kejadian berlaku pada kira-kira jam 2.45 petang tadi (semalam) apabila pemandu lori terbabas dan merempuh kedai di kawasan itu.

“Kedai berkenaan didapati kosong dan mengalami kerosakan pada bahagian bumbung hadapannya.

“Siasatan mendapati kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu lori yang gagal mengawal kenderaan yang dipandu, namun kejadian tidak membabitkan kenderaan lain,” katanya.

Sinar Harian

Kapten kapal antara ditahan seludup diesel

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SENAI – Empat krew termasuk kapten kapal warga Indonesia dan dua lelaki tempatan antara yang ditahan dalam OPS Pensura 2012 oleh Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah dua, dipercayai cuba menyeludup diesel di kawasan Sungai Shanti, Kampung Lepau, Pengerang, Kota Tinggi, awal pagi, semalam.

Komandernya, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan berkata, kesemua suspek berumur 32 hingga 47 tahun ditahan ketika sedang asyik memunggah diesel ke tangki sebuah kapal, kira-kira jam 3 pagi semalam, untuk dibawa secara haram ke negara jiran.

“Dalam operasi berkenaan, sebuah kapal Landing craft tanker dan dua lori tangki yang dipandu oleh dua lelaki tempatan itu turut ditahan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati kira-kira 29,850 liter diesel berjaya dipindahkan ke dalam kapal,” katanya.

Menurutnya, ketika ditahan sebuah lori tangki sedang menjalankan aktiviti pemunggahan dan sebuah lagi sedang menunggu giliran. Kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Pengerang manakala barang kes dibawa ke Pangkalan Marin, Pengerang.

“Kes ini diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Zainul Abidin berkata, PGM amat mengalu-alukan maklumat orang awam mengenai kegiatan yang menyalahi undang-undang di kawasan pesisir pantai.

Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian 07 –237 2222 atau 07-237 6122.

Sinar Harian

Warga emas maut jatuh flat

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Belum pun reda kes 12 motosikal yang dibakar Selasa lalu, penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Setapak, di sini dikejutkan pula dengan kejadian seorang warga emas jatuh dari tingkat 17, blok B, perumahan bertingkat itu kira-kira jam 11.45 pagi, semalam.

Kejadian itu menyebabkan warga emas berkenaan mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala, tulang tangannya hancur dan mati serta merta di tempat kejadian.

Warga emas tersebut, Wong Tong Sing, 69, sebelum itu dilihat berbaring di atas tembok tangga tingkat 17 blok tersebut.

Penduduk, R Santhi, 46, berkata, dia terkejut melihat warga emas berkenaan berbaring di situ, namun hasrat untuk menariknya dari atas tembok itu tidak kesampaian apabila lelaki tersebut jatuh tidak lama kemudian.

“Saya cuba panggil jiran lain untuk tarik dia turun, tetapi tidak sempat. Saya terkejut melihat dia terjatuh dan terus menjerit,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu seorang lagi saksi yang juga Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga, PPR Seri Semarak, Zulkiffli Mohd Yusof berkata, dia menyangka bunyi benda jatuh didengarinya adalah sampah yang dibuang penghuni blok berkenaan dari tingkat atas.

“Kebetulan ketika itu saya sedang berbincang bersama ahli jawatankuasa tentang masalah sampah yang dibuang dari atas, terus saya bergegas ke arah bunyi tersebut untuk mengenal pasti siapa yang melakukannya, tetapi terkejut apabila mendapati ia adalah mayat manusia,” katanya.

Penduduk, Anita Hasan, 49, berkata, warga emas tersebut bukan penghuni di situ, namun sudah dilihat berlegar-legar di kawasan tersebut sejak kelmarin.

Dalam pada itu, Ketua Balai Polis Wangsa Maju, Cif Inspektor Mispani Hamdan berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati si mati mempunyai rekod dalam pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Gombak.

Katanya, polis juga percaya warga emas tersebut mempunyai masalah kemurungan disebabkan ditinggalkan isteri.

“Kita akan cuba mengesan waris atau ahli keluarga terdekatnya dan minta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi polis Wangsa Maju di talian 03-41492222 atau 019-6006377,” katanya.

Sinar Harian

Premis sorok minyak masak diserbu PPDNKK

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

IPOH – Sebuah premis memproses makanan ringan di Chemor yang menyorok satu tan bekalan minyak masak diserbu penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK), kelmarin.

Timbalan Pengarah PPDNKK Negeri, Rosli Ahmad berkata, hasil pemeriksaan dalam serbuan pada jam 7.45 petang itu menemui sejumlah 969 kilogram minyak masak bernilai RM3,391.

Menurutnya, serbuan itu dibuat berdasarkan pemantauan dan risikan selama seminggu bagi mengesan aktiviti di premis berkenaan.

“Tindakan sita dibuat kerana premis berkenaan tidak mempunyai kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia untuk menyimpan minyak dalam kuantiti besar.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pemilik premis boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan. Syarikat juga boleh dikenakan denda sehingga RM250,000,” katanya, di sini semalam.

Rosli berkata, pihaknya menyangka premis berkenaan hanya sebuah kilang pembungkusan makanan ringan.

“Namun, selepas serbuan mendapati syarikat itu telah menyembunyikan minyak masak dalam kuantiti besar.

“Siasatan awal mendapati premis berkenaan turut memasarkan minyak masak kepada syarikat pemprosesan makanan ringan lain di sekitar bandar raya ini tanpa kebenaran,” katanya.

Katanya, perbuatan menyembunyikan bekalan itu sengaja dilakukan bagi membolehkan harga minyak masak di manipulasi pihak tertentu sehingga menyusahkan pengguna di negeri ini.

“Susulan itu, PPDNKK telah melakukan pemeriksaan terhadap 225 premis sekitar bandar raya termasuk syarikat pemborong dan pasar raya sejak minggu lalu.

“Pihak kami akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memantau perkembangan aktiviti dijalankan pemborong, pembekal dan penjual sekali gus memastikan bekalan mencukupi,” katanya.

Sinar Harian

Liga Juara-Juara: Arsenal kalah teruk, Wenger kata 'malapetaka'

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MILAN - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menyifatkan kekalahan pasukannya 4-0 di tangan AC Milan dalam pusingan pertama 16 pasukan terakhir awal pagi tadi (waktu Malaysia) sebagai sesuatu yang mengejutkan dan "malapetaka."

Dengan keputusan mengaibkan itu, Wenger melihat pasukan pimpinannya sudah pun terkeluar daripada persaingan Liga Juara-juara musim ini. Ia merupakan kekalahan teruk bagi pasukan itu.

"Kami tidak tinggal di dunia mimpi. Mungkin hanya ada peluang dua atau lima peratus, tetapi dari segi realistik, kami sudah pun keluar dari persaingan," katanya lagi. "Kami melakukan kesilapan demi kesilapan dan kami dihukum," katanya lagi.

Kata beliau lagi: "Anda bertanya semu soalan dalam satu malam, tetapi ia sukar untuk dianalisis dan lebih baik tidak cakap banyak, analisis (perkara ini) dengan tenang dan menghimpunkan semula untuk pertemuan akan datang."

Gol AC Milan dijaringkan oleh Kevin-Prince Boateng pada minit ke-15, De Souza Robinho (37), De Souza Robinho (48) dan Zlatan Ibrahimovic (79).

Ketua pasukan Arsenal, Robin Van Persie beberapa kali cuba menjaringkan gol tapi percubaannya dinafikan penjaga gol AC Milan, Christian Abbiati yang cemerlang dalam perlawanan awal pagi tadi. Pemain lagenda Arsenal, Thierry Henry yang dipinjam dari kelab New York Red Bulls gagal membantu rakan sepasukan untuk mencari gol.

Perlawanan kedua pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah antara Arsenal dan AC Milan dijadualkan pada 6 Mac 2012 di Stadium Emirates.

Pada satu lagi perlawanan, Zenit St Petersburg menang 3-2 ke atas Benfica.

Sinar Harian

‘Saya hanya mampu menjerit’

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH –“Saya hanya mampu menjerit dan nampak dua-dua anak saya sudah tercampak atas jalan raya,” kata Siti Aisyah Othman, 36, mangsa kemalangan di Kilometer 213 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, awal pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 1 pagi itu menyebabkan Siti Nurnajwa Nordin, 7, meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan (ICU) Hospital Melaka, sejam selepas kejadian akibat kecederaan parah kepala.

Manakala abangnya, Haziq Nordin, 12, cedera parah dan kini masih koma, turut dirawat di hospital sama.

Menurut Siti Aisyah, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru dengan menaiki kereta jenis Perodua Kancil.

Ketika itu katanya, dia sedang berbual dengan suaminya, Nordin Mohd Shukor, 36, yang memandu kereta, selepas selesai berbual dengan seorang saudaranya menerusi telefon bimbit.


Anak-anak nyenyak tidur

“Kedua-dua anak saya nyenyak tidur di tempat duduk belakang. Tiba-tiba kereta yang kami naiki terbabas ke kiri dan berpusing beberapa kali sebelum terhumban ke dalam parit.

“Saya hanya mampu menjerit ketika itu. Sebaik sahaja saya turun, saya lihat kedua-dua anak saya sudah tercampak atas jalan raya beberapa meter dari kereta,” katanya.

Menurutnya, Siti Nurnajwa yang juga murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Laksana, Parit Maimon, Parit Sulong, tercampak keluar dari pintu but belakang kereta, manakala Haziq menerusi cermin pintu belakang.

Katanya, mereka berempat baru tiba di Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang kira-kira jam 7.30 petang sebelum singgah di rumah anak saudara di Puchong dan mahu pulang ke rumahnya di Kampung Parit Lapis Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor.

“Kami empat beranak baru pulang daripada menghadiri majlis perkahwinan seorang anak saudara di Limbang, Sarawak.

“Selepas singgah di rumah saudara di Puchong, kami bertolak pulang kira-kira 10 malam,” katanya kepada Sinar Harian di Hospital Melaka, di sini, semalam.


Anak bongsu berubah sikap

Siti Aisyah berkata, sebelum kemalangan itu, dia menyedari pe­rubahan sikap arwah anaknya itu yang begitu ceria.

“Tidak sangka, ia menjadi petanda anak kesayangan saya akan pergi buat selama-lamanya.

“Arwah memang sangat manja sejak tiga hari kebelakangan ini. Sejak tiba di Sarawak pun, arwah begitu manja dan ceria tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini arwah anaknya itu tidur sendiri, tetapi sebaliknya sejak tiga hari lalu, Siti Nurnajwa sering tidur bersama ayahnya dan sentiasa minta didukung.

Siti Aisyah yang bekerja sebagai pembantu gerai sebuah kedai makan di Parit Sulong berkata, sikap ketara lain yang ditunjukkan arwah anaknya adalah apabila minta disuap ketika makan di rumah anak saudaranya di Puchong, kelmarin.

“Arwah juga tiba-tiba berubah mahir menggunakan chopstik ketika makan, selain mudah menangis apabila diusik saudara-mara.

“Namun, semua itu saya dan suami layankan sahaja kerana menganggap arwah masih kecil dan mahu bermanja,” katanya.


Kereta hilang kawalan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin mengesahkan kejadian berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, kereta dinaiki empat sekeluarga ini hilang kawalan sebaik melalui jalan berkenaan, sebelum berpusing beberapa kali dan terbabas masuk ke dalam parit dan ke laluan bertentangan.

“Kemalangan berkenaan menyebabkan kanak-kanak perempuan terbabit maut sejam selepas kejadian semasa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Melaka,” katanya.

Sementara itu katanya, abang mangsa yang dirawat di hospital sama masih belum sedarkan diri.

“Bagaimanapun, ibu bapa mereka tidak mengalami sebarang kecederaan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Umar Ali Saifuddin berkata, mayat mangsa dibawa pulang ke kampung keluarganya di Parit Sulong, Batu Pahat untuk dikebumikan, sebaik saja selesai bedah siasat, semalam.

Sinar Harian

Maut lepas tahlil arwah

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

DUNGUN - “Saya terus longlai sebaik melihat mayat adik saya terbujur kaku, lebih menyayat hati apabila kepalanya berkecai dengan sebahagian otaknya terburai atas jalan.

Demikian cerita Mohd Ismadi Awang, 27, yang terpaku seketika sebaik menyaksikan mayat adiknya, Kamaruddin Awang, 23, yang maut dipercayai digilis van, dalam satu kemalangan di persimpangan jalan dekat sini, malam semalam.

Ismadi yang masih hiba dengan pemergian adik bongsunya itu berkata, dia seolah tidak percaya melihat mayat yang berada di atas jalan itu adalah adik lelakinya, kerana mereka berdua baru sahaja bersama dalam satu majlis tahlil di rumahnya dekat Batu Tiong.

Ismadi berkata, selepas majlis tahlil arwah ibu saudaranya yang meninggal dunia tiga hari lalu, mangsa dikatakan bergegas keluar menuju ke bandar Dungun untuk mengisi minyak motosikalnya.

Bagaimanapun, sebelum keluar, Ismadi menyuruh adiknya itu membuang sampah selain sempat bergurau antara satu sama lain.

“Sebelum keluar rumah, saya sempat menyuruhnya membuang sampah, namun dia membantah, walhal sebelum ini dia akur setiap apa yang saya suruh.

“Kira-kira sejam selepas dia keluar, tiba-tiba ada orang memberitahu adik kemalangan. Bila sampai di tempat kejadian, saya tergamam lihat motosikalnya dan tubuhnya yang sudah tidak bernyawa itu, tak sangka dia pergi begitu cepat,” katanya.

Bagaimanapun kata Ismadi, dia menerima ketentuan Tuhan apabila adiknya menemui ajal dalam kemalangan itu.

Namun, perasaannya tersentuh apabila melihat mayat adiknya dalam keadaan yang amat menyayat hati, dengan kecederaan parah di seluruh anggota badan, termasuk sebahagian otaknya terburai sehingga memaksa pihak polis mengutipnya di atas jalan raya sebelum dimasukkan ke dalam plastik.

“Saya sebak sebaik melihat keadaan mayatnya yang begitu menyayat hati, hanya Tuhan tahu perasaan saya ketika itu,” katanya.

Arwah Kamaruddin yang juga seorang pekerja kilang memproses ikan berdekatan, mati di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta anggota badan lain.

Kemalangan di Kilometer 72 jalan Kuala Terengganu-Kuantan itu dikatakan berlaku apabila mangsa dipercayai dilanggar sebuah van dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu, yang tidak sempat mengelak sebaik melihat sebuah motosikal.

Mangsa dipercayai turut dilanggar kenderaan lain sebelum dilanggar pula van muatan tekstil yang dipandu Ishak Rasul, 33, dari Pandan Jaya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat, dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa mati akibat cedera teruk di seluruh badan termasuk kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ismail Abdullah mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan pihaknya.

Sinar Harian

Roboh ‘port’ maksiat, dadah

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Dua bangsal yang dipercayai dijadikan ‘port’ untuk memuaskan nafsu seks dan melepaskan gian dadah golongan gelandangan dan remaja sejak beberapa tahun lalu dirobohkan pihak berkuasa tempatan dalam operasi pagi semalam.

Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandar Raya Islam (MPKB- BRI) bertindak merobohkan dua binaan tersebut yang dibina bersebelahan tanah perkuburan di Jalan Kubur Muda, Kampung Sireh di sini, selepas mendapat aduan daripada orang ramai.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa MPKB-BRI, Ramli Che Hussain, seramai 20 anggota penguat kuasa diketuai oleh Ketua Inspektor MPKB-BRI, Mohamad Ali dan dua anggota polis terlibat dalam operasi berkenaan.

“Kedua-dua bangsal tersebut didirikan di atas tanah rizab Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan tanah milik persendirian secara haram.

“Dua tahun lalu kita pernah bertindak merobohkan bangsal seumpama ini tetapi, mereka ini mendirikan semula tanpa kebenaran dan ia dipercayai menjadi tempat kegiatan jenayah dan maksiat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ramli berkata, operasi selama satu jam yang bermula kira-kira jam 10 pagi itu menemui beberapa barangan termasuk botol, kotak, dan tilam yang mungkin digunakan untuk kegiatan maksiat.

Beliau berkata, pada 5 Februari lalu pihaknya mengeluarkan notis kepada pihak berkenaan agar merobohkan binaan berkenaan, namun tersebut tidak diendahkan.

“Susulan daripada itu, kami terpaksa merobohkan bangsal berkenaan dan tindakan dilakukan di bawah Seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, di mana mengikut akta tersebut, mana-mana individu yang mendirikan bangunan tanpa kelulusan pihak majlis, ia boleh dirobohkan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mengenai bangsal di kawasan berkenaan yang dijadikan tempat seorang lelaki warga emas memuaskan nafsu dengan menjadikan seorang wanita warga Indonesia sebagai hamba seks.

Sinar Harian

Janda tipu warga emas

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Seorang peneroka terpaksa berputih mata selepas wang dari akaun Tabung Haji berjumlah RM5,000 lebur akibat terpedaya dengan helah seorang janda beranak satu yang menjanjikan akan membayar sekali ganda daripada jumlah wang yang dipinjamnya daripada mangsa.

Mangsa yang juga seorang warga emas berusia 70 tahun dari sebuah gugusan Felda di sini dipercayai termakan pujukan janda tersebut yang berjaya meraih simpati mangsa untuk mendapatkan pinjaman itu.

Mangsa yang dikenali Harun (bukan nama sebenar)mendakwa, perempuan yang dikenali dengan nama “Rohana” berusia 32 tahun itu memerlukan wang tersebut untuk melunaskan cukai pendapatannya dan memberitahu dia bakal mendapat pampasan milik arwah suaminya kira-kira RM87,000 selepas hutang selesai dibayar.

Menceritakan detik-detik perkenalannya, Harun yang mempunyai enam anak itu memberitahu dia mengenali “Rohana” di sebuah perhentian bas di Jalan Bukit Ubi di sini kira-kira seminggu lalu.

“Saya ditegur perempuan tersebut dan selepas itu, dia memberitahu statusnya sebagai janda serta memiliki seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

“Namun perbualan bertukar menjadi kisah sedih, dia meluahkan masalahnya untuk membayar cukai pendapatan dan memerlukan kira-kira RM5,000 untuk menyelesaikan masalahnya,” dakwanya.

Mangsa juga memberitahu, taktik wanita itu yang menangis teresak-esak sambil merayu ‘melembutkan hatinya’ untuk membantu dan menawarkan untuk membayar jumlah pinjaman sekali ganda selepas mendapat pampasan tersebut selain bersedia menjadi isteri muda mangsa.

“Namun saya hanya ingin membantu wanita tersebut dan tidak berhasrat menjadikan dia sebagai isteri baru kerana saya sendiri sudah berkeluarga,” dakwanya.

Katanya, episod malangnya berlaku pada Isnin lalu, dia bersama wanita yang turut membawa anak perempuannya bertemu di Bangunan Lembaga Tabung Haji di Jalan Mahkota kira-kira jam 2.30 petang dan akhirnya mengeluarkan jumlah wang diminta dari akaunnya.

“Kemudian kami bergerak ke sebuah bank lain di Jalan Tun Ismail di sini kerana “Rohana” ingin membayar hutang tersebut. Namun “Rohana” tidak membenarkan saya masuk dan menyuruh saya tunggu di luar bank bersama anaknya.

“Sebaik selesai, wanita itu memberikan beberapa slip bank kosong dan dia pun meninggalkan saya serta meminta supaya menunggu di depan bank itu sehingga urusannya di tempat lain selesai,” dakwanya.

Umpama menunggu ‘buah yang tidak gugur’ apabila mangsa terpaksa pulang hampa selepas kelibat wanita itu tidak kelihatan sehingga urusan bank berakhir dan Harun terpaksa pulang ke rumahnya dengan tangan kosong.

“Esok paginya saya datang ke bank sama dan alangkah kecewanya apabila diberitahu slip kosong itu tidak berguna oleh kakitangan bertugas dan akhirnya baru tersedar, saya ditipu.

“Saya menghubungi nombor telefon yang diberikan namun hingga kini semua panggilan dijawab dipindahkan ke peti suara,” dakwanya.

Mangsa dipercayai bakal menunaikan ibadah haji pada tahun depan.

Menyedari dirinya tertipu, mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 11.10 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam.

“Saya berharap agar orang ramai berhati-hati dan tidak terpedaya seperti saya.Peristiwa ini juga menjadi pengajaran terbaik buat saya agar tidak mudah mempercayai orang,” katanya.

Sinar Harian

Rampasan cakera optik cetak rompak cecah RM 26 juta- KPDNKK

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PUTRAJAYA - Operasi menyeluruh yang digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) berjaya merampas dvd, vcd perisian komputer dan perisian permainan video cetak rompak bernilai RM 26, 447,954 sepanjang tahun 2011 lalu.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Malaysia Mohd Roslan Mahayudin memberitahu pihaknya telah menyusun semula strategi penguatkuasan menggunakan kaedah ‘PELT’ iaitu ‘Partnership, Enforcement,Legislation dan Training’.

“Melalui kaedah ini pembanterasan aktiviti cetak rompak dapat dibuat secara serentak, iaitu pada masa yang sama menjalankan penguatkuasaan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan di negara-negara lain melalui partnership dan training, disamping penambahbaikkan kepada akta yang berkenaan juga sentiasa dijalankan bagi menjamin keberkesanan penguatkuasaan,”katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Katanya lagi, bermula pada tahun 2010, Jemaah Menteri Malaysia telah meletakkan pembersihan aktiviti cetak rompak di kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ sebagai key performance indicator (KPI) KPDNKK selama tiga tahun dan bermula pada tahun ini KPI baru bagi membersihkan aktiviti penjulan dvd , vcd cetak rompak diperluas ke seluruh negara.

“Satu lagi pendekatan baru yang kita akan gunakan ialah melalui ‘smart enforcment’iaitu nasihat berkaitan undang-undang dan kesalahan yang telah dilakukan diberi kepada peniaga dan penjual sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

“Nilai rampasan untuk tahun 2010 ialah sebanyak RM 30,425,070 ini bukanlah penurunan jika hendak dibandingkan dengan jumlah rampasan pada tahun 2011 kerana setiap tahun jumlah rampasan adalah bergantung kepada jenis barang dan nilainya akan berganda sekiranya melibatkan rampasan kilang cakera optik justeru nilai rampasan pada tahun 2010 adalah tinggi kerana ianya melibatkan 514 stamper dan 2 buah mesin mencetak,”katanya.

Sinar Harian

Hanyut al-Quran dalam tikar mengkuang

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PENAGA - Seorang bapa dan anak saudaranya terpaksa membatalkan hasrat menjala ikan di Sungai Muda berdekatan Kampung Pengkalan Bongor di sini, setelah terkejut menemui bungkusan tikar mengkuang kerana menyangka ia berisi mayat manusia.

Tersentak dengan penemuan pada jam 12.05 tengah hari itu, Yusri Salleh, 37 dan anak saudaranya, Azman Abd Halim, 22, bergegas memaklumkan kepada penduduk kampung dan selepas dibuka mereka mendapati tujuh naskah al-Quran bersama beberapa muqaddam basah terendam.

Azman berkata, dia yang tinggal di rumah datuknya, Salleh Din, 74, bersama bapa saudaranya Yusri memang sudah biasa menjala ikan di sungai terbabit setiap kali mempunyai masa lapang terutamanya pada lewat malam.

“Sungai ini memang menjadi tumpuan penjala dan kaki pancing kerana mempunyai banyak ikan terutama talapia dan udang galah.

“Tak sangka awal pagi semalam hasrat kami terbantut kerana menemui bungkusan itu yang hanyut menghampiri perahu hingga membuatkan kami takut kerana menyangka berisi mayat manusia,” katanya.

Sementara itu, Salleh berkata, selepas membuka bungkusan bersama Ketua Perhubungan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Mukim Kampung Pengkalan Bongor/Guar Kepah, Ridzuan Othman, mereka mendapati tujuh naskah al-Quran dan beberapa naskah muqaddam masih elok tetapi basah.

“Kami percaya naskah al-Quran ini sengaja nak dilupus dengan cara menghanyutkannya ke laut kerana tikar mengkuang itu dibalut rapi dan kitab suci itu hanya basah dan tidak lagi koyak.

“Penemuan itu kemudiannya dimaklumkan kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) kemudiannya dan dalam masa sama kami menjemur semua kitab suci itu untuk mengeringkannya,” katanya.

Menurutnya, dia kesal dengan penemuan itu kerana Islam mempunyai garis panduan cara melupuskan kitab suci berkenaan.

Penolong Pengarah Hal Ehwal Islam Jaipp, Azmah Abdullah yang dihubungi berkata, tindakan sedemikian amat dilarang dalam Islam kerana al-Quran boleh dilupuskan jika sudah koyak atau rosak.

“Orang ramai boleh membakar dalam bekas bertutup bagi mengelak debunya berterbangan sebelum menanam atau membuangnya ke dalam sungai yang berarus deras.

“Jika bilangannya banyak, kitab suci itu boleh diserahkan terus kepada Kementerian Dalam Negeri melalui Bahagian Pelupusan al-Quran untuk dilupuskan dan bukan dibuang sesuka hati sepertimana penemuan di Kampung Pengkalan Bongor itu awal pagi semalam,” katanya.

Sinar Harian

Warna dakwat beza kategori

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan membezakan warna dakwat kekal bagi undian awal dan undian biasa untuk membantu kelancaran proses pengendalian pilihan raya yang telus, bebas serta bersih sepenuhnya.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya juga tidak boleh mendedahkan warna yang membezakan kategori undian tersebut.

“Kami merancang menggunakan warna berbeza pada hari mengundi dan untuk pengundi awal.

“Pihak kami juga akan mendedahkan warna hanya pada hari mengundi atas sebab-sebab keselamatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Penggunaan dakwat kekal hari pengundian telah diwartakan pada 15 Februari lalu.

Sebanyak 230,000 botol dakwat kekal akan disusun untuk digunakan 12.4 juta pengundi pada pilihan raya umum akan datang. Manakala 10,000 botol dakwat kekal pula untuk pengundi awal termasuk pegawai tentera, polis, Kakitangan Pasukan Gerakan Am serta keluarga mereka.

Dakwat kekal sepatutnya digunakan dalam 2008 pilihan raya, tetapi selepas polis menemui rancangan untuk mensabotaj proses pilihan raya di Perlis, Kedah dan Kelantan, idea itu telah dimansuhkan.

Sinar Harian

Mak nyah diserang enam lelaki

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN - “Saya hanya mampu menjerit apabila hayunan rantai besi yang berikat mangga itu terkena tepat di kepala,” kata juru mekap yang menjadi mangsa serangan enam lelaki di depan Wisma Delima, Jalan Haji Abdul Aziz, semalam.

Menceritakan kejadian itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Rozita berkata, dia bersama rakannya, Shasha sedang berjalan di kawasan berkenaan kira-kira jam 3.30 pagi, sebelum didatangi enam lelaki menaiki motosikal.

“Tanpa sebarang amaran, tiga daripada mereka terus memukul saya menggunakan besi, topi keledar dan rantai besi berikat mangga, manakala yang lain berada di atas motosikal,” katanya.

Rozita berkata, begnya disentap hingga putus sebelum pukulan bertubi-tubi hinggap di bahagian belakangnya.

Katanya, dia tidak mampu melawan dan ketika itu, rakannya Shasha datang membantu, tetapi turut menjadi sasaran tiga lelaki yang memakai baju dan jaket serba hitam.

Rozita, yang ketika itu berlumuran darah, lari menyelamatkan diri, tetapi apabila menyedari rakannya juga dipukul, dia kembali ke arah rakannya sebelum rebah di situ.

“Selepas lebih lima minit, enam lelaki itu menghilangkan diri dengan motosikal. Ketika itu saya hanya separa sedar di pangkuan Shasha,” katanya.

Sementara itu, Shasha yang masih lagi trauma dengan serangan itu, tidak menyangka kumpulan lelaki itu tergamak memukul mereka dengan besi dan topi keledar.

Katanya, dalam keadaan kelam kabut dan darah yang mengalir di kepala, ada individu yang kebetulan lalu di jalan itu dan menghantar mereka ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Ketika itu saya memang tidak berdaya sementelah melihat rakan yang hampir pengsan di pangkuan. Nasib baik ada orang lalu di kawasan itu dan membawa kami ke hospital,” katanya.

Akibat serangan itu, Rozita menerima enam jahitan di kepala, luka di dahi, lebam di bahagian bahu, belakang dan lengan, manakala Shasha pula luka di bahagian kepala dan lengan.

Rakan mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Bakri, 50-an berkata, kumpulan mak nyah itu menggelar lelaki yang menyerang mereka Geng Anti Maknyah kerana sebelum ini kira-kira 12 kali kejadian sama berlaku membabitkan 10 mangsa.

Katanya, kumpulan lelaki itu akan bertindak di antara jam 1 pagi hingga 5 pagi, tetapi tidak mengambil barang penting atau beg duit dan hanya menyerang serta memukul mangsa.

“Kes ini sebenarnya sudah berlaku enam bulan lalu, tetapi kini lebih kerap terutama di Jalan Bukit Ubi, Jalan Wong Ah Jang dan Lorong Pasar.

“Mereka selalu diserang dan menggunakan senjata sama. Mereka tidak mengambil wang, tetapi akan mencederakan mangsa,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen, Sim Chon Siang berharap, kum­pulan mak nyah itu mendapat pembelaan sewajarnya kerana menjadi mangsa kejam lelaki tidak berperikemanusiaan itu.

“Walau siapa pun mereka, kita berharap mak nyah ini dapat hidup selesa tanpa gang­guan lelaki yang bersikap ganas seperti ini,” katanya ketika melawat Rozita dan Shasha di sini.

Dalam pada itu Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Deputi

Superintendan Kamaruz­zaman Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kes itu dan akan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Peraturan guna dakwat kekal dikuat kuasa

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya berkuat kuasa semalam setelah diwartakan pada 13 Februari lepas, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Beliau berkata, SPR kini membuat perancangan untuk menggunakan dakwat kekal itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), bagaimanapun masih belum membuat pesanan untuk membelinya kerana dakwat ini hanya boleh digunakan dalam tempoh tiga bulan sahaja.

"Dakwat ini tidak boleh dipesan awal kerana boleh tahan tiga bulan, dan kekalnya akan hilang. Oleh itu SPR belum order lagi," katanya semasa diwawancara oleh hos Suhaimi Mohammad dalam program "Dialog" yang bertajuk "Daftar dan Undi" yang disiarkan secara langsung oleh RTM1 di sini malam tadi.

"Untuk tempah (dakwat kekal) tidak lama, dua minggu sahaja. Maknanya dari segi persediaan kita dari segi kotak, botol, penutup botol, sudah dalam proses," kata Abdul Aziz.

Beliau berkata, dakwat itu akan dipesan sebaik pembubaran Parlimen diumumkan.

Abdul Aziz berkata, bagaimanapun warna dakwat kekal yang akan digunakan pada PRU 13 belum diumumkan lagi manakala untuk pengundian pos, dakwat kekal tidak akan digunakan.

Beliau turut menasihati para pengundi supaya tidak membenarkan mana-mana

pihak untuk mencalit dakwat di jari mereka sebelum sampai ke tempat mengundi bagi memastikan kelayakan mereka untuk mengundi tidak terjejas.

Mereka yang telah mendaftar untuk mengundi di pusat-pusat mengundi akan dicalit dakwat kekal ini di jari telunjuk kiri, jelas Abdul Aziz.

Beliau berkata, penggunaan dakwat ini bukan sahaja mendapat kelulusan Jabatan Kimia dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan tidak menjejaskan kesihatan atau mempunyai kesan sampingan, malah turut mendapat kelulusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 11 Januari lepas memutuskan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum adalah harus dan dibenarkan berdasarkan tiga kriteria iaitu dakwat tersebut tidak najis, tidak memudaratkan dan boleh menyerap air.

Penggunaan dakwat kekal adalah antara cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

Pada 19 Disember 2011, Abdul Aziz mengumumkan SPR akan menggunakan dakwat kekal jenis 'silver nitrate' untuk PRU13, yang merupakan dakwat yang berlainan dengan dakwat kekal yang disyorkan pada pilihan raya umum 2008, namun tidak digunakan selepas keberkesanan kaedah tersebut dipersoalkan pelbagai pihak.

Sinar Harian

Wanita Iran berlatih seni ninja

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

WANITA Iran ini mengimbangi badan dengan meletakkan kedua-dua belah kaki di atas badan dua rakannya dalam latihan di sebuah kelab Ninjutsu di Karaj pada Isnin lalu.

TEHERAN, Iran - Sekumpulan wanita Iran menyertai kelas seni mempertahankan diri Jepun, Ninjutsu di negara ini, lapor agensi berita Reuters.

Kira-kira 3,000 hingga 3,500 wanita Iran berlatih di kelab-kelab Ninjutsu yang dikendalikan secara persendirian di Iran yang dipantau oleh Kementerian Persekutuan Sukan Seni Mempertahankan Diri.

Ninjutsu merupakan cabang ninja yang memerlukan seseorang pelatih itu melakukan pengintipan, penyusupan, sabotaj dan pembunuhan.

Antara latihan yang diikuti wanita di Iran itu ialah mereka berlari di atas dinding dan menggunakan pedang semasa berlawan. - Agensi