16 Februari 2012

‘Saya hanya mampu menjerit’

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH –“Saya hanya mampu menjerit dan nampak dua-dua anak saya sudah tercampak atas jalan raya,” kata Siti Aisyah Othman, 36, mangsa kemalangan di Kilometer 213 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, awal pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 1 pagi itu menyebabkan Siti Nurnajwa Nordin, 7, meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan (ICU) Hospital Melaka, sejam selepas kejadian akibat kecederaan parah kepala.

Manakala abangnya, Haziq Nordin, 12, cedera parah dan kini masih koma, turut dirawat di hospital sama.

Menurut Siti Aisyah, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru dengan menaiki kereta jenis Perodua Kancil.

Ketika itu katanya, dia sedang berbual dengan suaminya, Nordin Mohd Shukor, 36, yang memandu kereta, selepas selesai berbual dengan seorang saudaranya menerusi telefon bimbit.


Anak-anak nyenyak tidur

“Kedua-dua anak saya nyenyak tidur di tempat duduk belakang. Tiba-tiba kereta yang kami naiki terbabas ke kiri dan berpusing beberapa kali sebelum terhumban ke dalam parit.

“Saya hanya mampu menjerit ketika itu. Sebaik sahaja saya turun, saya lihat kedua-dua anak saya sudah tercampak atas jalan raya beberapa meter dari kereta,” katanya.

Menurutnya, Siti Nurnajwa yang juga murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Laksana, Parit Maimon, Parit Sulong, tercampak keluar dari pintu but belakang kereta, manakala Haziq menerusi cermin pintu belakang.

Katanya, mereka berempat baru tiba di Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang kira-kira jam 7.30 petang sebelum singgah di rumah anak saudara di Puchong dan mahu pulang ke rumahnya di Kampung Parit Lapis Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor.

“Kami empat beranak baru pulang daripada menghadiri majlis perkahwinan seorang anak saudara di Limbang, Sarawak.

“Selepas singgah di rumah saudara di Puchong, kami bertolak pulang kira-kira 10 malam,” katanya kepada Sinar Harian di Hospital Melaka, di sini, semalam.


Anak bongsu berubah sikap

Siti Aisyah berkata, sebelum kemalangan itu, dia menyedari pe­rubahan sikap arwah anaknya itu yang begitu ceria.

“Tidak sangka, ia menjadi petanda anak kesayangan saya akan pergi buat selama-lamanya.

“Arwah memang sangat manja sejak tiga hari kebelakangan ini. Sejak tiba di Sarawak pun, arwah begitu manja dan ceria tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini arwah anaknya itu tidur sendiri, tetapi sebaliknya sejak tiga hari lalu, Siti Nurnajwa sering tidur bersama ayahnya dan sentiasa minta didukung.

Siti Aisyah yang bekerja sebagai pembantu gerai sebuah kedai makan di Parit Sulong berkata, sikap ketara lain yang ditunjukkan arwah anaknya adalah apabila minta disuap ketika makan di rumah anak saudaranya di Puchong, kelmarin.

“Arwah juga tiba-tiba berubah mahir menggunakan chopstik ketika makan, selain mudah menangis apabila diusik saudara-mara.

“Namun, semua itu saya dan suami layankan sahaja kerana menganggap arwah masih kecil dan mahu bermanja,” katanya.


Kereta hilang kawalan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin mengesahkan kejadian berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, kereta dinaiki empat sekeluarga ini hilang kawalan sebaik melalui jalan berkenaan, sebelum berpusing beberapa kali dan terbabas masuk ke dalam parit dan ke laluan bertentangan.

“Kemalangan berkenaan menyebabkan kanak-kanak perempuan terbabit maut sejam selepas kejadian semasa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Melaka,” katanya.

Sementara itu katanya, abang mangsa yang dirawat di hospital sama masih belum sedarkan diri.

“Bagaimanapun, ibu bapa mereka tidak mengalami sebarang kecederaan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Umar Ali Saifuddin berkata, mayat mangsa dibawa pulang ke kampung keluarganya di Parit Sulong, Batu Pahat untuk dikebumikan, sebaik saja selesai bedah siasat, semalam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: