16 Februari 2012

Presiden PAS lawat Melaka 18 Feb

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MELAKA, 16 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menyertai program Jelajah Lajnah Penerangan PAS Pusat di negeri ini pada 18 Februari ini.

Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Ashraf Mukhlis Minghat berkata, selain beliau, pemimpin PAS Pusat yang turut bersama ialah Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, AJK, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Setiausaha Lajnah Penerangan, Ustaz Misbahul Munir Masduki dan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohd Fadhli Hassan.

Katanya, program sehari suntuk itu bermula pada 8.30 pagi di mana Presiden PAS akan bersarapan pagi di Restoran Haji Bakrin Sidek, Bukit Katil.

Selepas itu, ujarnya rombongan akan meneruskan program taklimat kepada pimpinan PAS negeri dan kawasan-kawasan di Pejabat PAS Paya Dalam.

Pada sebelah petang, kata beliau bermula pada jam 3.30 petang, Tuan Guru Presiden dan pimpinan lain akan menghadiri jamuan Hi-Tea Bersama Rakyat di Pekan Durian Tunggal.

Menurutnya lagi, manakala pada jam 5.30 petang pula Tuan Ibrahim akan mengedarkan risalah di Pasar Malam, Paya Ikan, Bukit Baru sementara Mohammad Nizar menemui rakyat sambil mengedar risalah di Pantai Kundor.

Pada sebelah malam pula, ujar beliau semua pimpinan akan berjemaah Maghrib dan menyampaikan tazkirah di beberapa tempat di mana Tuan Guru Abdul Hadi di Surau Umri Serkam, Tuan Ibrahim di Markas PAS Bukit Katil dan Mohammad Nizar di Markas PAS Pantai Kundor.

Katanya, acara kemuncak ialah ceramah perdana yang akan diadakan di dua tempat berasingan iaitu Tuan Guru Presiden dan Tuan Ibrahim di Surau Ustaz Ali, Permatang Pasir manakala Mohammad Nizar dan Dr Fadhli di Kuala Linggi, Masjid Tanah.

“Program jelajah Lajnah Penerangan PAS antara lain untuk mengeratkan hubungan PAS dan rakyat di samping menjadi medan untuk penyelarasan jentera penerangan pelbagai peringkat bermula dari pusat hinggalah ke akar umbi,” katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: