16 Februari 2012

Pasir: MB mahu Noh beri kerjasama, kemuka bukti

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 16 Feb: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) meminta Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Noh Omar sedia memberi kerjasama berhubung dakwaan bahawa beliau mempunyai bukti salah laku kakitangan KSSB dalam pengendalian pasir di Selangor.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat exco semalam, Khalid berkata kerjasama dari Noh itu sangat penting bagi memastikan dakwaan itu benar-benar wujud atau hanya sekadar tuduhan politik.

Ekoran itu juga katanya, syarikat milik penuh kerajaan negeri Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB) telah menghantar surat kepada Noh yang juga Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani itu.

Surat tersebut dihantar bagi mendapatkan persetujuan Noh supaya dapat menetapkan tarikh, masa dan tempat untuk mengadakan satu perjumpaan bersama tiga orang Ahli Lembaga Pengarah Bebas KSSB iaitu Sabtu Md. Ali, Cheong Seng Gee, dan Ganabatirau Veraman.

"Saya harap Noh bersedia untuk ditemubual oleh mereka yang telah dilantik dan kita juga mahukan Noh mengemukakan bukti-bukti jika benar wujud gejala rasuah dalam operasi pasir di Selangor.

"Jika beliau benar-benar ingin memastikan isu rasuah wujud dan berharap mereka yang terlibat perlu dikenakan tindakan, maka beliau perlu memberi kerjasama sepenuhnya," jelasnya.

Khalid mengulangi, pihaknya dari awal sememangnya telah mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan pengendalian pasir di negeri itu telus dan bebas dari segala salah guna kuasa.

Ianya termasuk memberi kebenaran kepada pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memasuki secara bebas ke pejabat KSSB sejak 2009 untuk menjalankan siasatan sekiranya perlu.

Malah semua transaksi perniagaan pasir di Selangor dipantau Transparency International dan dua pengarah bebas badan itu juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lalu.

Kata Menteri Besar itu lagi, beliau tidak akan menghalang sesiapa yang ingin memberi maklumat mengenai rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikat.

"Mengenai tuduhan yang ditujukan kepada Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei dan juga Adun Batu Cave, Amiruddin Shari, kalau benar apa yang diperkatakan maka penyebar maklumat itu boleh meneruskan dakwaan tersebut tetapi jika ia tidak benar bersedia untuk disaman oleh kedua-dua Adun tersebut," kata beliau.

Harakah Daily

Tiada ulasan: