16 Februari 2012

Hentikan Lynas bukan sekadar benar himpunan

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Feb: Kerajaan bukan hanya perlu membenarkan Himpunan Hijau 2.0, 26 Februari ini namun harus mendengar suara rakyat yang mahu operasi kilang nadir bumi Lynas di Gebeng dihentikan.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkefly Mohammad Omar (gambar) berkata, di samping kebenaran berhimpun, perkara yang dituntut jauh lebih besar iaitu mahu Lynas menutup kilang yang membahayakan keselamatan dan kesihatan penduduk Kuantan.

"Sudah sampai masanya suara rakyat Kuantan didengar dan kita mahu Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang bukan sekadar benarkan kita berhimpun tapi apa yang lebih penting, bertindak menghentikan projek itu," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Penasihat Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar) itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Adnan Yaakob yang tidak menghalang himpunan tersebut.

Sambil menyambut baik kenyataan itu, Zulkefly berkata, PAS dan rakyat Kuantan menuntut komitmen kerajaan untuk menjamin keselamatan penduduk.

"Lagi baik kalau kerajaan hentikan projek itu sekarang, jadi rakyat tak payah susah-susah nak berhimpun.

"Mereka tak payah nak perli kita, seolah-olah cakap, buatlah himpunan besar-besaran tapi kerajaan akan tetap teruskan projek ini," katanya.

Himpunan Hijau 2.0 yang disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dengan sokongan Pakatan Rakyat itu dijadualkan akan berhimpun di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bermula jam 10 pagi.

Semalam, Najib berkata kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap peserta himpunan kerana rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman.

Adnan pula dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar berkata, Kerajaan Negeri Pahang mengalu-alukan kehadiran dan menyambut peserta dengan tangan terbuka kerana ia dianggap pelancongan dan akan menambahkan sumber pendapatan peniaga dan pengusaha hotel di bandar ini.

Justeru, Zulkefly menyeru rakyat bukan sahaja penduduk Kuantan untuk turun ke perhimpunan tersebut tanpa rasa takut.

"PAS menyeru rakyat di seluruh negara turun menyatakan solidariti terhadap penduduk Kuantan yang diancam bahaya," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: