16 Februari 2012

Heroin RM50,000 berjaya dirampas

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Polis menumpaskan sindiket pengedaran heroin selepas memberkas dua lelaki di kawasan letak kereta di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ulu Bernam, Kuala Kubu Bharu, Isnin lalu.

Dalam serbuan jam 3.45 petang itu, polis merampas heroin seberat 2.27 kilogram, bernilai hampir RM50,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, suspek berusia 26 dan 28 tahun itu ditahan dalam kereta Naza Citra.

Katanya, ketika diserbu, suspek melarikan diri dengan meninggalkan kereta, tetapi dapat diberkas semula.

“Pemeriksaan menemui sebuah beg berwarna hitam di tempat letak kaki penumpang. Di dalamnya terdapat satu plastik putih mengandu­ngi lima bungkusan plastik lutsinar disyaki heroin.

“Dadah ini boleh diedarkan dalam jumlah besar atau dibungkus semula dalam bentuk 80,000 tiub. Jika dijual, sindiket memperoleh untung RM800,000,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPPK) Selangor, semalam.

Katanya, suspek ditahan reman sehingga Isnin ini untuk siasatan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: