16 Februari 2012

Premis sorok minyak masak diserbu PPDNKK

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

IPOH – Sebuah premis memproses makanan ringan di Chemor yang menyorok satu tan bekalan minyak masak diserbu penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK), kelmarin.

Timbalan Pengarah PPDNKK Negeri, Rosli Ahmad berkata, hasil pemeriksaan dalam serbuan pada jam 7.45 petang itu menemui sejumlah 969 kilogram minyak masak bernilai RM3,391.

Menurutnya, serbuan itu dibuat berdasarkan pemantauan dan risikan selama seminggu bagi mengesan aktiviti di premis berkenaan.

“Tindakan sita dibuat kerana premis berkenaan tidak mempunyai kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan Malaysia untuk menyimpan minyak dalam kuantiti besar.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pemilik premis boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan. Syarikat juga boleh dikenakan denda sehingga RM250,000,” katanya, di sini semalam.

Rosli berkata, pihaknya menyangka premis berkenaan hanya sebuah kilang pembungkusan makanan ringan.

“Namun, selepas serbuan mendapati syarikat itu telah menyembunyikan minyak masak dalam kuantiti besar.

“Siasatan awal mendapati premis berkenaan turut memasarkan minyak masak kepada syarikat pemprosesan makanan ringan lain di sekitar bandar raya ini tanpa kebenaran,” katanya.

Katanya, perbuatan menyembunyikan bekalan itu sengaja dilakukan bagi membolehkan harga minyak masak di manipulasi pihak tertentu sehingga menyusahkan pengguna di negeri ini.

“Susulan itu, PPDNKK telah melakukan pemeriksaan terhadap 225 premis sekitar bandar raya termasuk syarikat pemborong dan pasar raya sejak minggu lalu.

“Pihak kami akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memantau perkembangan aktiviti dijalankan pemborong, pembekal dan penjual sekali gus memastikan bekalan mencukupi,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: