16 Februari 2012

Warna dakwat beza kategori

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan membezakan warna dakwat kekal bagi undian awal dan undian biasa untuk membantu kelancaran proses pengendalian pilihan raya yang telus, bebas serta bersih sepenuhnya.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya juga tidak boleh mendedahkan warna yang membezakan kategori undian tersebut.

“Kami merancang menggunakan warna berbeza pada hari mengundi dan untuk pengundi awal.

“Pihak kami juga akan mendedahkan warna hanya pada hari mengundi atas sebab-sebab keselamatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Penggunaan dakwat kekal hari pengundian telah diwartakan pada 15 Februari lalu.

Sebanyak 230,000 botol dakwat kekal akan disusun untuk digunakan 12.4 juta pengundi pada pilihan raya umum akan datang. Manakala 10,000 botol dakwat kekal pula untuk pengundi awal termasuk pegawai tentera, polis, Kakitangan Pasukan Gerakan Am serta keluarga mereka.

Dakwat kekal sepatutnya digunakan dalam 2008 pilihan raya, tetapi selepas polis menemui rancangan untuk mensabotaj proses pilihan raya di Perlis, Kedah dan Kelantan, idea itu telah dimansuhkan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: