16 Februari 2012

Malaysia benam ego Korea

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MALAYSIA muncul juara Kumpulan D kempen kelayakan Piala Thomas 2012 Zon Asia selepas membenam Korea Selatan 3-2 semalam.

Ternyata percaturan jurulatih beregu lelaki Malaysia, Tan Kim Her mengekalkan gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Goh V Shem-Lim Khim Wah membuahkan hasil apabila mereka meraih kemenangan ke atas lawan masing-masing.

Kemenangan penuh bermakna itu menyaksikan Malaysia akan membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan B, India pada aksi suku akhir hari ini.

Kelmarin, Malaysia dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan tipis 3-2 ke atas Hong Kong pada aksi pembukaan Kumpulan D.

MACAU - Malaysia melangkah bergaya ke peringkat suku akhir kempen kelayakan kejohanan badminton Piala Thomas 2012 Zon Asia apabila bergelar juara Kumpulan D.

Kejayaan itu hadir selepas skuad negara membenam ego Korea Selatan apabila mencatatkan kemenangan 3-2 pada aksi terakhir peringkat kumpulan semalam.

Lebih manis, dua pasangan beregu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Goh V Shem-Lim Khim Wah berjaya mencalarkan reputasi Korea Selatan yang sebelum ini ternyata mantap dalam acara tersebut selepas menewaskan lawan masing-masing.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Tan Kim Her ternyata gembira dengan kejayaan tersebut apabila percaturannya untuk mengekalkan gandingan sedia ada menghasilkan impak positif.

Sebelum ini, Kim Her dikatakan mahu memecahkan beregu negara, terutamanya pasangan Kien Keat- Boon Heong untuk pertemuan dengan Korea Selatan semalam.

"Sebab utama saya mena- ruh kepercayaan kepada Kien Keat-Boon Heong adalah untuk membuang rasa takut mereka ke atas pasa- ngan Korea Selatan yang sebelum ini menang dalam kesemua enam perlawanan.

"Saya tidak kisah jika mereka kalah. Namun, jika menang pasti akan meningkatkan lagi tahap keyakinan mereka.

"Yang pasti, kemenangan Datuk Lee Chong Wei dalam acara perseorangan pertama telah menaikkan lagi semangat Kien Keat-Boon Heong untuk berdepan pasangan Korea Selatan," kata Kim Her.

Selaku juara Kumpulan D, skuad negara bakal berdepan cabaran India pada aksi peringkat suku akhir hari ini (6.30 petang).

Kini, peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir hanya tinggal selangkah sahaja lagi buat skuad negara, sekali gus mengesahkan slot automatik ke pusingan akhir Piala Thomas di Wuhan, China, Mei depan.

Atas kertas, peluang untuk menumbangkan India tampak lebih memihak kepada skuad negara.

Pada aksi semalam, Chong Wei menyumbang mata pertama buat skuad negara apabila mencatatkan kemenangan ke atas Lee Hyun Il 21-13, 21-15.

Kien Keat-Boon Heong pula menamatkan badi kekalahan sebanyak enam perlawanan ke atas Yoo Yeon Seong-Ko Sung Hyun 21-14, 21-19, sekali gus memastikan mata kedua buat skuad negara.

Bagaimanapun, rentak kecemerlangan tersebut gagal diteruskan perseorangan kedua, Muhamad Hafiz Hashim gagal menyumbangkan mata buat skuad negara buat kali ketiga berturut-turut apabila tewas di tangan Shon Wan Ho 22-24, 21-16.

Gandingan V Shem-Khim Wah menceriakan kem sku- ad negara apabila mengutip mata kemenangan awal hasil kejayaan menumbangkan Lee Yong Dae-Shin Baek Choel 18-21, 21-19, 21-11.

Perseorangan ketiga negara, Mohamad Arif Abdul Latif tewas 17-21, 15-21 kepada Hong Ji Hoon.

kosmo/-

Tiada ulasan: