16 Februari 2012

Kapten kapal antara ditahan seludup diesel

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SENAI – Empat krew termasuk kapten kapal warga Indonesia dan dua lelaki tempatan antara yang ditahan dalam OPS Pensura 2012 oleh Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah dua, dipercayai cuba menyeludup diesel di kawasan Sungai Shanti, Kampung Lepau, Pengerang, Kota Tinggi, awal pagi, semalam.

Komandernya, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan berkata, kesemua suspek berumur 32 hingga 47 tahun ditahan ketika sedang asyik memunggah diesel ke tangki sebuah kapal, kira-kira jam 3 pagi semalam, untuk dibawa secara haram ke negara jiran.

“Dalam operasi berkenaan, sebuah kapal Landing craft tanker dan dua lori tangki yang dipandu oleh dua lelaki tempatan itu turut ditahan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati kira-kira 29,850 liter diesel berjaya dipindahkan ke dalam kapal,” katanya.

Menurutnya, ketika ditahan sebuah lori tangki sedang menjalankan aktiviti pemunggahan dan sebuah lagi sedang menunggu giliran. Kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Pengerang manakala barang kes dibawa ke Pangkalan Marin, Pengerang.

“Kes ini diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Zainul Abidin berkata, PGM amat mengalu-alukan maklumat orang awam mengenai kegiatan yang menyalahi undang-undang di kawasan pesisir pantai.

Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian 07 –237 2222 atau 07-237 6122.

Sinar Harian

Tiada ulasan: