16 Februari 2012

Penunggang motosikal maut dirempuh treler

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KULAIJAYA – Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya setelah motosikal ditunggang dirempuh sebuah treler ketika cuba keluar dari susur persimpangan di Kilometer 32, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, kemalangan berlaku pada kira-kira jam 2.45 petang, semalam dan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati treler yang datang dari arah Air Hitam menghala ke Johor Bahru dipercayai merempuh motosikal yang tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri tempat kejadian.

“Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, sebuah treler dilaporkan terbabas di Kilometer 25, Jalan Johor Bahru- Air Hitam berhampiran projek jambatan bertingkat di Senai, setelah melanggar batu penghadang di kawasan itu.

Mohd Kamil berkata, lori tanpa muatan yang dipandu lelaki berusia 33 tahun itu terbabas dan menyebabkannya merempuh rumah kedai di situ, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.

“Kejadian berlaku pada kira-kira jam 2.45 petang tadi (semalam) apabila pemandu lori terbabas dan merempuh kedai di kawasan itu.

“Kedai berkenaan didapati kosong dan mengalami kerosakan pada bahagian bumbung hadapannya.

“Siasatan mendapati kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu lori yang gagal mengawal kenderaan yang dipandu, namun kejadian tidak membabitkan kenderaan lain,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: