16 Februari 2012

Suspek lelah ketika diberkas

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Padah menimpa seorang ahli sindiket dadah ganja apabila dia mendapat lelah ketika cuba melarikan diri daripada diberkas polis dalam serbuan di Jalan Persiaran, Batu 3, kelmarin.

Suspek yang merupakan pemandu lori sedang berjalan kaki bersama rakannya dengan­ membawa beg berwarna hitam berisi dadah ganja.

Polis yang mendapat maklumat berhubung kegiatan kumpulan tersebut menyerbu dua lelaki itu, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Difahamkan, dadah tersebut dibawa dari Melaka untuk diedarkan di kawasan ber­­ham­piran. Semasa polis tiba, mereka terus melarikan diri melalui jalan kecil berhampiran sebuah restoran di kawasan itu. Bagaimanapun, mereka dapat diberkas selepas salah seorang suspek diserang lelah kerana dikejar polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, pemeriksaan di dalam beg yang dibawa suspek menemui tiga ketulan mampat daun kering disyaki ganja, seberat 2.84 kilogram dan dianggarkan bernilai RM10,200.

“Dadah ini boleh dibungkus semula dan dijual­ pada harga RM30 sebanyak 4.5 gram. Sindiket menga­ut­ keuntungan hampir RM10,000.

“Kita sedang menyiasat peranan sebenar suspek dalam kegiatan ini dan tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dalam sindiket pengedaran dadah,” katanya pada sidang media di Pusat Media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK), semalam.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah syabu dan ganja. Katanya, suspek berusia 35 dan 37 tahun itu ditahan reman sehingga Isnin depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian

Tiada ulasan: