16 Februari 2012

Ceroboh: APMM tangkap enam nelayan asing

23 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PASIR PUTEH - Demi mendapatkan tangkapan lumayan di perairan negara, enam nelayan warga Vietnam ditahan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) akibat menceroh.

Ketua Penguatkuasaan Maritim Daerah, Komander Maritim Zainin Abdul Majid berkata, mereka ditahan kerana melakukan aktiviti tersebut tanpa permit yang sah.

Beliau berkata, maklumat pencerobohan tersebut diperolehi daripada rondaan helikopter Kencana lewat petang kelmarin.

”Siasatan mendapati awak-awak bot termasuk seorang tekong yang berumur antara 18 hingga 45 itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

”Manakala bot bernombor pendaftaran BD 96400 TS dipercayai dari Vietnam itu ditahan jam 1.30 pagi kerana didapati menjalankan penangkapan ikan di perairan negara tanpa permit sah sebelum ditunda ke jeti APMM untuk tindakan susulan,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, Ops Perkasa Timur yang diketuai Pegawai Memerintah KM Ligitan Leftenan Komander Maritim Norhafizi Mohamad Rafek bersama 17 anggota berjaya mengesan sebuah bot berwarna biru dengan anjungan berwarna putih itu pada kedudukan 97 batu nautika Timur Laut Tok Bali.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta atau enam bulan penjara bagi tekong dan RM100,000 atau enam bulan penjara bagi awak-awak atau kedua-dua sekali manakala bot, peralatan serta hasil tangkapan dirampas.

Zainin berkata, pihaknya percaya sumber perikanan yang banyak terutama musim sotong yang sudah bermula mendorong nelayan asing menceroboh perairan negara walaupun sedar ia salah di sisi undang-undang.

Sinar Harian

Tiada ulasan: