Kuala Lumpur: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) semalam mengeluarkan Langkah Interim mengikut Seksyen 35 Akta Persaingan 2010 ke atas 26 pengeluar ais yang berkemungkinan melanggar Seksyen 4(2)(a) Akta Persaingan 2010.
MyCC mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai bahawa keputusan 26 pengeluar ais bersepakat menaikkan harga ais tiub boleh dimakan sebanyak 50 sen setiap beg dan RM2.50 setiap blok ais mulai 1 Januari lalu mempunyai kesan menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan di Semenanjung Malaysia.














