14 April 2009

Penunjuk perasaan bertempur dengan tentera

Sekurang-kurangnya 77 penunjuk perasaan antikerajaan cedera apabila pihak tentera melepaskan tembakan dan gas pemedih mata, atas arahan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, dalam satu pertempuran awal pagi tadi.

Gerakan terhadap penunjuk perasaan itu dilancarkan selepas tersebar spekulasi yang mengatakan pimpinan tingi tentera dan polis keberatan untuk menguatkuasakan perintah darurat yang diisytihar Abhisit pada Ahad.

Danbeberapa sumber mengatakan perdana menteri diberitahu oleh ketua angkatan tentera Anupong Paojinda supaya membubarkan parlimen bagi meredakan keadaan, lapor Bernama.

Abhisit sendiri hampir dibunuh oleh penunjuk perasaan yang marah ketika keluar dari kementerian dalam negeri pagi Ahad, memaksa pihak tentera meletakkan pasukan berkawal di jalan-jalan raya berikutan penyokong bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra bersedia untuk melawan dan menghadapi segala kemungkinan.

Jurucakap kerajaan Thai Panithan Wattanayakorn memberitahu media bahawa tentera terpaksa menggunakan kekerasan selepas perundingan dengan penunjuk perasaan gagal dan mereka diserang dengan beberapa bom buatan sendiri.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok berkata sehingga kini tiada kematian dilapor dan semua yang cedera, termasuk akibat tembakan, dihantar ke beberapa hospital berhampiran.

Datuk Bandar Bangkok Sukhumbhand Paribatra membatalkan semua sambutan pesta Songkran di bandar itu, termasuk di kawasan Khao San yang popular dengan pelancong. Bagaimanapun ramai pelancong dan penduduk menghadiri pesta di Silom beberapa jam sebelum pertembungan itu di Victory Monument.

Umum darurat

Abhisit, yang menjadi perdana menteri pada Disember selepas ipar Thaksin Somchai Wongsawat dipecat dari jawatannya oleh mahkamah perlembagaan, bertindak

selepas dimalukan penunjuk perasaan baju merah yang menyerbu lokasi Sidang Kemuncak Asean ke-14 di Pattaya pada Sabtu dan memaksa ia dibatalkan.

Sebelum Abhisit mengumumkan darurat, jumlah mereka yang berada di Rumah Kerajaan berkurangan kepada kira-kira 2,000 orang daripada seramai 100,000 pada

Rabu berikutan ramai yang pulang untuk merayakan Songkran, tetapi meningkat kepada lebih 20,000 pada Ahad malam.

"Kami bersedia untuk mati...senjata kami hanya kayu dan batu. Kami mahu demokrasi yang sebenar di negara ini, bukan tentera dan orang tua seperti Prem (Tinsulanonda) mengarah kami apa yang perlu dibuat," kata seorang penunjuk perasaan yang hanya dikenali sebagai Tor, ketika ditemui di Royal Plaza.

Thaksin mendakwa Prem yang merupakan bekas perdana menteri sebagai perancang penyingkirannya pada 19 September 2006.

Penunjuk perasaan mengumpulkan kayu dan batu untuk berhadapan dengan pasukan keselamatan, manakala sekatan jalan raya dibuat sepanjang jalan ke Rumah Kerajaan, tempat pemimpin bergilir-gilir menghentam Abhisit dan menuntut beliau meletak jawatan.

Beratus-ratus polis rusuhan dan tentera bersenjata mengawal kawasan yang menempatkan pentadbiran negara itu, dengan kebanyakan mereka berkawal di simpang menghala ke Chitralada Palace.

"Tolong jangan guna kekerasan terhadap kami, kita semua rakyat Thai," kata seorang penunjuk perasaan wanita ketika menghulurkan beberapa mangkuk bubur nasi kepada polis anti rusuhan di persimpangan menghala ke rumah Prem.

Pihak berkuasa dilapor menghentikan pengangkutan awam, termasuk perkhidmatan tren selepas penunjuk perasaan merampas lebih 20 bas dan menghalang jalan dan landasan keretapi bagi menghalang sebarang tindakan daripada pasukan keselamatan.

Kebanyakan pusat membelibelah di bandar ini masih ditutup hari ini berikutan orang ramai bertindak menjauhi pusat bandar. Malaysiakini

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

itu macam tindakan MALAYSIA, lepas tu pemimpin
kanan pertubuhan peberontak akan dikenakan ISA...ha...ha..ha..