26 Ogos 2009

Sokongan padu bukan Islam pada calon PR

PERMATANG PAUH, 24 Ogos: Hasil pemantauan yang dilakukan sejak hari penamaan calon hingga ke saat akhir menjelang hari mengundi pada esok pagi, menunjukkan sokongan padu bukan Islam pada calon PR, Ustaz Saleh Man.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar yang mengetuai petugas PAS negerinya di Unit Peti Undi (UPU) Cross Street 2, dekat sini yang merupakan kawasan paling tinggi mempunyai pengundi Tionghua di Dun Permatang Pasir.

Menurut Zulkefly, daripada 2,160 pengundi di UPU, seramai 1800 adalah pengundi berbangsa Cina dan selebihnya sekitar 300 orang terdiri daripada kalangan pengundi Melayu dan India.

Semua pengundi di UPU Cross Street 2 yang tingal di 11 lokaliti atau kampong akan menunaikan tanggungjawab mereka pada esok pagi di Madrasah Masriyah, juga dekat sini.

“Pengundi di kawasan ini memang memberikan sokongan kepada PR berdasarkan keputusan pilihan raya umum dan PRK Permatang Pauh, sebelum daripada ini, memperlihatkan keberanian mereka untuk bersama PR semakin jelas.

“Perkara ini dapat dilihat ketika majlis jamuan makan yang diadakan bersebelahan Tokong Kampung Sayur dan calon, Ustaz Saleh Man turun berjumpa dengan pengundi bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Haji Mohamad Sabu.

“Saya berkeyakinan PR berada di dalam keadaan selesa sehingga ke saat akhir kempen menjelang esok hari,” tegas Zulkefly yang sudah dua kali berkampung di sini termasuk ketika PRK Permatang Pauh tidak lama sebelum ini.

Katanya, penduduk Melayu pula tinggal di Kampung Paya seramai 360 yang dikatakan terdiri daripada pengundi tegar Umno, namun selepas Datuk Seri Anwar dan Ustaz Saleh menemui mereka di dalam lawatan ke kampong mereka, suasana sudah berubah.

Rakyat hendak tolak BN, ujarnya, kerana PR kemukakan calon terbaik apatah lagi hanya ini sahajalah satu-satunya kerusi PAS di Pulau Pinang dan telah dinyatakan jika Ustaz Saleh menang pada kali ini, beliau akan dilantik sebagai YDP Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Zulkefly juga berkata, BN meletakkan sasaran tinggi untuk menang di Permatang Pasir dengan mengemukakan janji untuk jadikan Permatang Pasir sebagai anak emas mereka, jika beroleh kemenangan kali ini.

Katanya, Menteri Besar Negeri Sembilan telah mengetuai petugas Umno negeri itu yang kedudukan markas keduanya, antara PAS dan Umno hanya sekitar 40 meter melalui satu lorong yang sama, meskipun tidak nampak tapi boleh dengar suara ceramah dengan jelas.

Mengulas isu ini, Zulkefly mengingatkan pengundi tempatan agar tidak terpengaruh dengan janji MB itu kerana beliau sendiri gagal untuk menjadikan negerinya sendiri sebagai anak emas.

“Jika hendak jadikan emas pun, jadikanlah negeri sendiri dulu sebagai anak emas, ini isunya di negeri pun belum lagi selesai termasuk berkaitan cukai tanah, tariff air dan sebagainya.

“Orang yang berjanji mesti dari orang yang boleh tunaikan janji-janji mereka,” tegasnya yang memang mempunyai banyak pengalaman tersendiri dengan kaum Tionghua di Negeri Sembilan khususnya.

Kerana itu, jelasnya, UPU Cross Street 2 ini diasak oleh semua pimpinan BN dengan memberikan bantuan kepada petani sayur dan peniaga seperti baja dan duit yang merupakan cara kempen stail lama yang sudah ketinggalan zaman.

SiasahDaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bagi baja dan duit kepada pengundi memang stail lama BN dan stail tu ler yg menjadi antara faktor terbesar kemerosotan undi di Manek Urai. Petugas PAS/PR jgn sedap hati kerana pengundi boleh 'jatuh hati' dengan imbuhan baja dan duit. Pada mereka,"takpa kita undi BN pun, State Gov tetap PR punya..duit dah dapat,bagi ler sekali.."