05 Disember 2009

Permohonan Anwar ditolak

Oleh AMIRUDDIN HARUN

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan pertuduhan liwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Dengan keputusan tersebut, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan kes terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang tertangguh sejak 1 Julai lalu, dibicarakan selama sebulan mulai 25 Januari tahun depan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan menolak permohonan Anwar setelah mendapati laporan perubatan 'tiada penemuan klinikal yang kukuh menunjukkan kemasukan zakar dalam dubur pengadu' tidak boleh dijadikan asas bagi mahkamah menggunakan kuasanya untuk membatalkan pertuduhan tanpa mendengar keterangan saksi-saksi terlebih dahulu.

Hakim Mohamad Zabidin juga menyatakan, pasukan pendakwaan bagi kes terkini itu tidak boleh disifatkan berat sebelah hanya kerana mereka tahu tentang peranan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kes terhadap Anwar pada 1998.

"Ia juga tidak cukup, atas pertimbangan kebarangkalian, untuk mendapati pada peringkat ini, bahawa tuduhan terkini yang dihadapi oleh pemohon (Anwar) juga bersifat niat jahat (mala fide)," katanya.

Anwar memohon membatalkan pertuduhan itu pada 17 Jun lalu dengan alasan ia berniat jahat, menindas dan menyalahgunakan proses mahkamah selain merupakan konspirasi politik serta muslihat jahat sama seperti pertuduhan yang dihadapinya pada 1998.

Anwar, 62, didakwa meliwat Mohd. Saiful, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Kes itu sepatutnya dibicarakan selama sebulan mulai 1 Julai lalu tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran permohonan demi permohonan yang dikemukakan oleh ketua pembangkang itu.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohamad Zabidin berkata, Anwar memohon pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu dibatalkan dengan alasan laporan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Pusrawi menunjukkan tidak terdapat kemasukan zakar ke dalam dubur pengadu iaitu Mohd. Saiful.

Bagaimanapun, hakim tersebut bersetuju dengan hujah Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden bahawa laporan-laporan doktor berkenaan hanya terhad kepada pemerhatian dan pemeriksaan fizikal serta tidak konklusif.

"Kes pendakwaan berlandaskan kepada keterangan lisan, keterangan forensik dan keterangan-keterang an lain yang akan dikemukakan di mahkamah di hari perbicaraan," ujarnya.

Beliau berkata, elemen penting yang perlu dibuktikan oleh pendakwa raya adalah berlakunya kemasukan zakar dalam dubur pengadu dan terpulang kepada pihak pendakwaan bagaimana ingin membuktikan elemen tersebut.

"Laporan perubatan tersebut adalah relevan dan sememangnya berguna kepada pembelaan dalam cubaan untuk menimbulkan keraguan terhadap sebarang keterangan yang mungkin dibawa pendakwa berhubung soal kemasukan.

"Tetapi persoalan sama ada terdapat atau tidak kemasukan atau terdapat keraguan atau tidak dalam sebarang keterangan yang mungkin dibawa pendakwa berhubung kemasukan tidak boleh diputuskan di peringkat ini hanya dengan berlandaskan laporan perubatan itu.

"Ia hanya boleh ditentukan setelah semua saksi memberi keterangan dalam perbicaraan," kata beliau.

Mengenai pertuduhan itu yang dikatakan dibuat dengan niat jahat dan penyalahgunaan proses mahkamah, jelasnya, Anwar mendakwa beberapa individu dalam pasukan pendakwa pada 1998 bukan setakat mencipta keterangan palsu terhadapnya tetapi juga berperanan membawa tindakan jahat ke atas kenalan rapatnya.

Selain itu, menurutnya, Anwar mengaitkan penglibatan Abdul Gani dalam kejadian 'mata lebam' pada 1998 bagi menunjukkan niat jahat Peguam Negara terhadapnya.

"Afidavit pemohon ada menyenaraikan peranan Tan Sri Abdul Gani dalam apa yang didakwa cuba memutar belit atau mencipta keterangan terhadap pemohon pada 1998.

"Walaupun begitu, tidak ada apa-apa yang menunjukkan perkara yang sama berlaku dalam kes terkini.

"Hanya dengan menunjukkan bahawa barisan timbalan pendakwa yang mengendalikan kes terkini ada pengetahuan tentang peranan Tan Sri Abdul Gani dalam kejadian 1998 tidak cukup untuk mahkamah ini mendapati barisan pendakwaan ini bersikap berat sebelah," katanya.

Selesai membaca keputusan setebal 14 muka surat itu, Hakim Mohamad Zabidin berkeras menetapkan tarikh perbicaraan walaupun peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar mahu tarikh sebutan diberikan kerana anak guamnya ingin mengemukakan rayuan.

Di luar mahkamah, seorang lagi peguam Anwar, Sankaran Nair menyatakan, notis rayuan dijangka difailkan esok dan pihaknya juga akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu sama ada ingin mengemukakan permohonan menangguhkan perbicaraan atau sebaliknya

11 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ikut suka depa la... mahkamah depa punya... tak bleh nak kata apa dah... mahkamah kanggaru... - Neo

Tanpa Nama berkata...

rasanya elok mintak para ulamak yg ada di mekah mengerjakan solat dan doa memohon kpd Allah S.W.T spy fitnah ini x berlarutan..dan perancang dan pihak yg terlibat (saksi2 & hakim2) ditimpa bala..dah lebih 10 tahun pihak tersebut masih berterusan merancang dan melakukan kezaliman..rasanya x perlu la diminta mrk ni bertaubat bukannya mrk x sedar apa yg mrk buat

Tanpa Nama berkata...

hakim tak ikut BN dah kena singkir oleh najib...

Tanpa Nama berkata...

hakim dam mahkamah dimalaysia tidak bebas, untuk bebaskannya perlu tumbangkan BN PRU13, sama-sama kita doakan.

Tanpa Nama berkata...

hakim-hakim BN

Tanpa Nama berkata...

Rakyat patut jadi hakim tumbangkan pemerintahan BN di malaysia.

Tanpa Nama berkata...

kehakiman telah dicucuk hidung oleh UMNO!

Tanpa Nama berkata...

sokong penuh pakatan rakyat supaya BN tumbang

Tanpa Nama berkata...

tiada kes pun nak buat kes macam rakyat bodoh?

Tanpa Nama berkata...

PR (pas,keadilan,dap) yg islam perlu adakan solat hajat n munajat tiap2 mlm minggu, minta Allah pelihara ng ni dari pemimpin2 munafik.. sebutkan nama2 mereka, ajensi2 yg mereka perkuda.. kerana bila bala Allah turun kita yg anti depa pun kena juga

Tanpa Nama berkata...

biar bala turun asalkan kita x bersubahat dgn mereka..sebab bala di akhirat dan seksaannya lebih hebat lg jika kita bersengkokol dgn mrk..