12 Safar 1431H
Menunjuk Pandai Menggunakan Kapak di Depan Lu Ban
Asal Usul:
Lu Ban yang hidup pada zaman Chunqiu ini, merupakan seorang tukang kayu yang kemahirannya tiada tolok bandingnya, baik dalam bidang seni ukir mahu pun seni bina. Beliau dianggap sebagai pengasas seni tukang kayu oleh rakyat China.
Menurut ceritanya, pada suatu hari, seorang penyair ternama pada zaman Dinasti Ming, iaitu Mei Zhihuan telah tiba di satu tempat yang bernama Cai Shi Ji, iaitu di provinsi Anhui pada masa ini, untuk menziarahi kubur Li Bai, iaitu seorang penyair agung pada zaman Dinasti Tang. Cai Shi Ji di tebing Sungai Cai Shi ini dikatakan tempat Li Bai dikebumikan. Kononnya, ketika bersiar-siar di tebing Sungai Cai Shi pada usia yang lanjut, Li Bai ternampak bayang-bayang bulan yang bersinar terang, kelihatan sungguh indah pada permukaan sungai itu. Beliau sangat teruja, lalu membongkok, dan cuba menyentuh bayang-bayang bulan itu. Sayang sekali, penyair agung itu terjatuh ke dalam sungai itu, lalu mati lemas. Sebagai penghormatan kepada Li Bai, selepas peristiwa tersebut, kawasan tebing sungai ini dijadikan destinasi pelancongan dengan binaan kubur Li Bai, Menara Dewa, dan Pavilion Menyentuh Bulan, yang terus menarik kunjungan pelancong sampai sekarang ini. Sejak itu, hingga berabad-abad lamanya, pujangga dari merata-rata tempat ramai yang berkunjung ke sana untuk meninggalkan sajak mereka pada batu nisan Li Bai sebagai penghormatan kepada beliau, walaupun hasil tulisan mereka tidak berapa elok.
Apabila melihat kubur Li Bai tercemar begitu sahaja, Mei Zhi Huan amat terkejut. Fikirnya, ada orang yang tidak tahu malu, meninggalkan apa yang disebutnya "sajak" di depan "Dewa Penyajak" ini. Maka, dengan hati yang duka dan marah, beliau menghasilkan sebuah puisi yang isinya begini:
Di tebing sungai penyajak agung bersemadi,
Li Bai namanya zaman berzaman disanjung tinggi,
Penyair jalanan datang dan pergi "menconteng" puisi,
Bagai menayangkan kapak di depan Lu Ban tukang bestari.
Catatan Keterangan:
Peribahasa "Ban Men Nong Fu" yang membawa erti, mahu menunjuk-nunjuk pandai menggunakan kapak di depan Lu Ban ini, digunakan untuk mempersenda perbuatan yang cuba menunjukkan kepandaian diri yang tidak seberapa di depan orang yang benar-benar pandai.
CRI/-
1 ulasan:
Ini sudah tentu berbeza dengan kes balingan kapak di rumah Kickdefella. Nasib baik kena kereta kalau kena kepala kan dah jadi peribahasa Kapakdikepala. Jangan marah ye...
Catat Ulasan