25 Ogos 2010

1,000 tandatangan dikumpul bantah saman ekor

14 Ramadhan 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berjaya mengumpul seribu tandatangan rakyat dalam pelancaran kempen tandatangan membantah saman ekor di bazar Ramadhan Keramat, petang tadi.

Kempen yang berlangsung kira-kira satu jam itu diketuai oleh Ketua DPPP, Nasrudin Hassan dan turut diiringi setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Bercakap kepada pemberita sebelum mengedarkan borang tandatangan kepada pengunjung bazar berkenaan, Nasrudin berkata, DPPP mengambil inisiatif mengumpul tandatangan itu kerana mendengar banyak rintihan rakyat yang menjadi mangsa kepada saman ekor.

"Saman ekor yang dikenakan terhadap pengguna jalan raya ini merupakan satu kezaliman dan penindasan pihak berkuasa terhadap rakyat.

"Sepatutnya setiap orang yang didakwa bersalah perlu diberi membela diri, bukan terus mengenakan hukuman dan akhirnya rakyat yang terpaksa menaggung beban," kata Nasrudin.

Beliau berkata, pihaknya akan mengumpul sebanyak mungkin tandatangan dengan turun ke setiap negeri dan akan dilampirkan bersama memorandum untuk diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sementara itu, Khairul Faizi berkata, meskipun kerajaan telah mengumumkan untuk menangguhkan saman ekor sehingga bulan Februari ahun hadapan, ini tidak bererti ianya telah dihapuskan terus.

"Kemungkinan besar saman ekor akan diteruskan kembali selepas Februari 2011. Kami mengharapkan agar saman ekor ini akan terus dihapuskan selepas dari tarikh tersebut," katanya.

Pengunjung dan penjual di bazar berkenaan memberikan respons yang baik terhadap DPPP sewaktu mengedarkan borang tandatangan itu dan kempen berkenaan juga tidak diganggu pihak polis walaupun ada beberapa orang anggotanya dilihat meronda di kawasan berkenaan.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: