25 Ogos 2010

Yusof Nor patut terima kasih bukan marah

14 Ramadhan 1431 H

KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Pengerusi Felda, Tan Sri Yusof Nor patut berterima kasih kepada para pengkritik Felda kerana dengan cara itu dia boleh memperbetulkan segala kepincangan dalam perbadanan itu.

Demikian kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam twitternya hari ini. Mesej ini adalah yang ketiga dihantar Mustafa melalui twitternya itu @dato_mustafaali.

Mustafa menyertai komuniti paling popular di dunia itu hari ini. Mesej tentang Felda adalah yang ketiga selepas mempertikaikan Umno dan BN yang terlalu banyak memainkan isu perkauman sejak kebelakangan ini dalam twit keduanya.

Mustafa mempertikaikan apakah motif sebenar para pemimpin Umno dan BN ketika memainkan isu perkauman.

Dalam isu Felda, Mustafa berkata, Yusof tidak patut marah-marah terhadap pengkritik dan pihak yang mahu memberikan pandangan tentang Felda.

"Jangan ambil mudah Tan Sri," kata Mustafa dalam twitternya.

Semalam, media melaporkan Yusof Nor marah-marah terhadap pihak-pihak yang memberikan pandangan dan masuk ke kawasan Felda.

Beliau menyifatkan tindakan ini sebagai satu gangguan yang tidak diingini oleh warga komuniti itu.

Katanya, pihak terbabit sebenarnya mahu melihat peneroka dan pentadbiran dalam organisasi itu berpecah-belah untuk memudahkan mereka menyusup masuk.

"Mereka serang dan fitnah Felda kerana nampak ia semakin berkembang, sebab itu mereka nak masuk dalam Felda," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan saguhati kepada 19 Pengerusi Masjid dalam Rancangan Felda Terengganu Sabtu lepas.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

gedebe berkata...

Nampaklah sekarang belangnya... siapa dia sebenarnya. nampak macam baik, lembut, beretika dan sopan tapi bila dah bersekongkol dengan penzalim dia jadi tak keruan. dah tak bolah fikir dengan betul.. sebab nak jaga kepentingan peribadi sama-sama menipu rakyat. tapi tak pa cuba asak lagi sikit kalau muka camtu mesti gelabah puyoh punya... bukan berani sangat pun tu.