25 Ogos 2010

Perhimpunan DIA: Polis nafi guna kekerasan

14 Ramadhan 1431 H

Polis menafikan telah menggunakan kekerasan terhadap anggota sebuah pertubuhan yang berhimpun di depan Balai Polis Sitiawan di Lumut, Ahad lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata dakwaan bahawa polis telah menggunakan kekerasan serta mengeluarkan perkataan berunsur perkauman ketika menghalang kumpulan itu daripada merempuh masuk ke balai berkenaan, adalah tidak berasas dan bertujuan menjatuhkan imej pasukan beruniform itu.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kumpulan berkenaan yang mendakwa pihak polis menggunakan kekerasan, termasuk mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman semasa berdepan dengan mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Dailog Bersama Pengurusan Sime Darby Plantation di Lumut, semalam.

Zulkfili berkata sebagai sebuah pasukan profesional, anggota polis dilatih menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk ketika berdepan dengan tekanan.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas insiden perarakan dan perhimpunan sekumpulan anggota Persatuan India Dindings (DIA) di balai polis berkenaan untuk membuat laporan berhubung masalah dalaman persatuan itu.

Dalam kejadian itu, polis telah menahan dua anggota kumpulan tersebut iaitu ahli parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran dan bekas setiausaha politiknya, P Sukumaran.

Zulkfili berkata mereka yang membuat dakwaan itu boleh mengemukakan bukti dan polis bersedia menyiasat kes tersebut serta mengenakan tindakan terhadap anggotanya yang didapati melakukan kekerasan.

"Dalam kejadian itu, polis terpaksa menggunakan kekerasan yang minimum semasa menahan dua orang kumpulan tersebut bagi mengawal keadaan.

tidak ada sebarang tindakan kekerasan, atau kata-kata kesat berunsur perkauman digunakan.

"Ini satu tuduhan yang serius dan boleh membangkitkan kemarahan di kalangan orang ramai, khasnya kaum India," katanya.

Beliau berkata berdasarkan laporan yang diterima, anggota polis telah mengambil tindakan yang tepat apabila menghalang kumpulan tersebut daripada menyerbu masuk ke kawasan balai itu kerana sebelum itu, hanya beberapa wakil diminta masuk membuat laporan.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: