26 Ogos 2010

Bapa mangsa letupan mercun direman tiga hari

15 Ramadhan 1431 H

Polis mendapat perintah menahan reman selama tiga hari terhadap Ayub Abd Rahman, 29, bapa kanak-kanak yang terkorban dalam letupan di sebuah rumah tinggal di sini kelmarin, bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Perintah itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Mohd Erman Che Mat.

Perintah dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000.

Turut kelihatan berada di kompleks mahkamah isteri kepada suspek Kamariah Sufian, 25.

Suspek berumur 28 tahun itu sebelum itu ditahan ketika menyerah diri di tempat kejadian kira-kira 12.55 tengah hari semalam setelah dinasihati oleh polis dan juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

Dia sebelum itu menghilang diri bersama isterinya sejurus selepas kejadian yang mengorbankan anak tunggal berusia enam tahun itu.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga, kelmarin, Khairul Arif maut selepas tercampak ke atas pokok setinggi 15 meter akibat letupan itu.

Dia cedera parah di kepala, manakala Mohd Asrizan Muda, 22, dan Mazlan Abdullah, 29, cedera parah dan kini masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HNSZ).

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: